Shah Alam – Pengasas Hot Spot Mart, menzahirkan rasa terharu apabila menerima kunjungan daripada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin beberapa hari lalu.
Menurut Jason Teh, 48, kunjungan itu diterimanya setelah dia menghantar sepucuk surat kepada Dr. Shahrin pada 23 Oktober lalu.
Jelasnya, surat berkenaan ditulis bagi meluahkan rasa kagum dan terharu terhadap layanan masyarakat setempat, khususnya pelajar UiTM, yang menunjukkan adab yang tinggi serta sopan santun dalam pertuturan ketika berurusan di kedainya.
Tambahnya, walaupun dia berbangsa Cina dan majoriti pelanggan di kawasan itu berbangsa Melayu, dia tidak pernah merasa tersisih malah disambut baik oleh komuniti sekitar.
“Saya ingin pihak UiTM tahu bahawa pelajarnya memiliki silaturahim yang baik dan berperangai sopan.
“Pada masa yang sama, saya mahu ibu bapa pelajar tahu anak mereka bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi juga dididik dengan nilai akhlak yang tinggi,” katanya.
Tambahnya, sepanjang lapan bulan menjalankan perniagaan di Seksyen 7, kebanyakan pelajar UiTM yang berkunjung ke kedainya berbudi bahasa, mengemas meja sendiri selepas makan dan menghormati semua lapisan masyarakat.
Jelas Jason, kunjungan Dr. Shahrin yang berlangsung kira-kira 45 minit itu diibaratkan sebagai satu penghormatan besar dan membuktikan keprihatinan pihak universiti terhadap maklum balas masyarakat.
Terdahulu, Dr. Shahrin Sahib dalam hantarannya di laman Facebook mengucapkan penghargaan kepada Jason atas inisiatif menulis surat berkenaan.
“Saya sanjung usaha beliau menulis surat tersebut, asalnya saya ingat surat itu ditulis menggunakan ChatGPT, rupanya jiran Melayu kedai kek sebelah yang bantu,” kongsi Dr. Shahrin di Facebook Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.
Hot Spot Mart yang beroperasi sejak Februari lalu terkenal dengan ramen segera, minuman dan snek yang ditawarkan pada harga berpatutan kepada pelajar UiTM.
Jason berkata konsep harga rahmah untuk pelajar menjadi teras utama perniagaannya kerana dia mahu membantu golongan mahasiswa menikmati makanan kegemaran mereka pada harga yang mampu milik tanpa perlu berbelanja besar.
