339 views 2 mins 0 comments

Cacat Tak Halang Penghantar Makanan Cari Rezeki

In Global
November 06, 2025
Xiangyang cekap mengendalikan kenderaan elektrik beroda satu (EUC) sewaktu bekerja. (Foto: China Daily)

Hunan, China – Kisah seorang penghantar makanan kurang upaya menarik perhatian ramai apabila usahanya mencari rezeki walau dalam kekurangan fizikal menjadi simbol ketabahan dan semangat berdikari dalam kalangan masyarakat tempatan.

Li Xiangyang, pemuda berasal dari wilayah Hunan yang kehilangan kedua-dua tangannya sejak kecil lagi, kini mengetuai sebuah pertubuhan kebajikan dan terus mencabar kebolehan dirinya.

Dia sering bergerak di antara lorong-lorong sempit menggunakan kenderaan elektrik beroda satu di bandar lama Fenghuang Ancient Town, sebuah destinasi pelancongan terkenal di Hunan.

Beliau telah membangunkan kaedah tersendiri iaitu dengan melekatkan telefon pintarnya pada sebatang kayu dan pemegang magnetik.

“Basikal roda itu memenuhi keperluan asas saya dan rekod saya setakat ini ialah untuk menghantar lima pesanan dalam satu perjalanan.

“Dengan mencari pendapatan sendiri, saya dapat membina keyakinan diri dan juga maruah,” kata pemuda berusia 30 tahun itu. 

Menurut Li Xiangyang, kecacatannya berpunca daripada kebocoran transformer yang menyebabkannya hilang upaya kekal.   

Akibat daripada kejadian itu, dia mengambil masa berbulan-bulan untuk memahiri beberapa perkara asas seperti memegang sudu atau penyepit menggunakan kaki.

Jelas Xiangyang, keluarganya mengambil hutang yang besar untuk membiayai rawatan dan sering berpindah randah untuk mencari sumber pendapatan.

Menurutnya, kesukaran yang terbesar ialah dari segi psikologi kerana merasa dirinya hina dan mengalami kesukaran untuk tidur apabila memikirkan masa depannya. 

Pada 2016, dia menyertai Persatuan Kebajikan Awam Shannabian di Fenghuang dan kini, beliau sering melawat sekolah untuk memberi ceramah motivasi, mengajar pelajar menulis serta memberikan kaunseling dan khidmat sokongan kepada golongan orang kurang upaya.

“Ramai pelanggan terkejut apabila saya berjaya sampai tepat pada waktunya dan mereka akan memberi kata-kata semangat, perkara itu membuat saya merasa dihargai.

“Saya percaya bahawa saya boleh terus menyara keluarga saya walaupun sukar,” ujarnya dengan yakin.