663 views 33 secs 0 comments

Siti Nurhaliza dilantik Profesor Adjung UiTM

In Berita, Kampus
November 06, 2025
Siti Nurhaliza menerima surat pelantikan sebagai Profesor Adjung daripada Dr. Shahrin dalam majlis di bangunan Canseleri UiTM, Shah Alam. (Foto: Facebook Naib Canselor Universiti Teknologi MARA)

Shah Alam – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dilantik  Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pelantikan tersebut dibuat dalam satu majlis khas di bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin di sini, hari ini.

Mengulas perkara tersebut, penyanyi nombor satu negara itu berkata, pelantikan ini dapat menjadi jambatan antara dunia industri dan akademik agar para pelajar berpeluang memahami serta meneroka realiti sebenar dunia keusahawanan.

“Apa yang dipelajari daripada buku dan pensyarah sebenarnya akan menjadi panduan apabila mereka melangkah ke dunia sebenar selepas tamat pengajian.

“Saya amat berterima kasih kepada UiTM atas penghargaan yang diberikan ini dan saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib menyifatkan pelantikan ini adalah suatu detik bersejarah kepada UiTM.

“Biduanita negara adalah seorang usahanita yang berjaya yang telah melalui pelbagai liku kehidupan sebagai usahawan, jenama SimplySiti.

“Dato’ Seri telah membuktikan bahawa daya kreativiti, dan ketulusan mampu membawa jenama tempatan ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Untuk rekod, Siti Nurhaliza memikul amanah sebagai Profesor Adjung di UiTM bermula 15 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2027.

Nik Iman
/ Published posts: 6

Kebenaran tak perlu dihias