969 views 2 mins 0 comments

MBSA Agih Makanan Percuma Kepada 300 Penduduk Seksyen 7

In Berita, Komuniti
April 22, 2025
Pengunjung sedang berbaris mendapatkan kupon makanan di kaunter yang disediakan MBSA di Medan Selera Seksyen 7, pada Selasa.

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengagihkan makanan percuma kepada 300 orang di program Makan Percuma Peringkat MBSA bertempat di Medan Selera Seksyen 7, Shah Alam dekat sini pada Selasa.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, program itu merupakan sebahagian daripada program Masyarakat Prihatin MBSA.

Menurut beliau, program itu mendapat kerjasama daripada pengusaha gerai makanan dan minuman terpilih di medan selera itu dengan kadar RM10 untuk seorang pengunjung.

“Program ini merupakan inisiatif pihak MBSA untuk membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan seperti pekerja industri, penjawat awam, dan penuntut institusi pengajian tinggi.

“Melalui program ini juga MBSA dapat mendekati dan menyantuni komuniti setempat sekaligus mengeratkan silaturahim dan muhibbah dalam kalangan masyarakat di kawasan pentadbirannya,” katanya.

Menurut Shahrin, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu Tiada Kemiskinan (SDG 1) dan Komuniti dan Bandar Mampan (SGD 11).

“Program ini akan diadakan sebanyak tiga siri dan hari ini merupakan fasa pertama di kawasan zon tengah iaitu Seksyen 7 dan pihak MBSA akan cuba di kawasan selatan dan utara.

“Pada tahun lepas, program ini telah diadakan di gerai Seksyen 2, Shah Alam dan gerai MBSA di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

“Pihak MBSA juga telah mengadakan program Gerobok Rezeki dimana masjid-masjid yang terpilih diberikan keperluan asas pada tahun lepas,” jelasnya lagi.

Tambahnya, pihak MBSA juga sedang menggerakkan program Isi Minyak Percuma di beberapa stesen minyak terpilih di sekitar bandaraya ini.

Danish Hakimi Khair Khaizal
/ Published posts: 2

Membongkar Kebenaran, Menyuarakan Suara Rakyat