UiTM – Penyedia perkhidmatan kurier dan pelbagai dalam kampus, MiKu Point atau MiKU digesa menambah baik kualiti perkhidmatan bagi mengelak isu lambakan bungkusan barangan (parcel) di kaunter operasinya di Dataran Cendekia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, berlarutan.
Rata-rata pelajar yang ditemui meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara kerja dan layanan yang diberikan kakitangan syarikat tersebut kepada pelanggan terutamanya selepas kemasukan pelajar baharu, September lalu.
Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Iqhwan Hamdan, 21, berkata syarikat tersebut tidak mempunyai sistem agihan parcel yang cekap sehingga berlaku kesilapan semasa penyerahan barang kiriman kepada pelanggan.
“Pernah ketika saya mengambil parcel di MiKu, pekerja memberi parcel pelajar lain kepada saya. Keadaan ini menyusahkan saya dan pemilik parcel tersebut yang mungkin menganggap barangnya hilang atau diambil pihak lain.
“Mungkin (kesilapan itu) nampak seperti isu kecil tetapi kami juga membeli barang dengan duit. Risau akan membazir duit sekiranya barang ada kemungkinan hilang disebabkan orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

MiKu Point merupakan satu kerjasama perniagaan di antara Koperasi UiTM Berhad dan Mili Express bagi memberikan perkhidmatan kurier kepada pelajar di kampus UiTM Shah Alam.
Selain UiTM Shah Alam, MiKu turut mempunyai sebuah lagi kaunter operasi di UiTM Puncak Alam.
Bagi pelajar Kolej Pengajian Kejuruteraan, Nik Iqlima Nik Mohd Zaki, 23, sikap segelintir pekerja MiKu yang sambil lewa melayani pelanggan menyebabkan uruskan pengagihan parcel menjadi lambat.
“Walaupun bilangan pekerja mereka ramai, tetapi tidak semuanya serius menjalankan tugas masing-masing. Ada kalanya hanya seorang yang buat kerja, yang lain hanya melepak dan berborak,” jelasnya.
Ekoran situasi tersebut, beberapa pelajar luar kampus didapati mengambil peluang menawarkan perkhidmatan penghantaran parcel secara kecil-kecilan dengan menjadikan rumah sewa mereka sebagai pusat operasi.
Antaranya, pelajar Fakulti Sains Gunaan, Nurul Ainie Azman, 22, yang menjana pendapatan sampingan sebagai penghantar parcel kepada pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada rakan sekuliahnya.
“Mula-mula saya buat hanya sekadar membantu rakan sekelas, tapi bila ramai yang meminta izin untuk menggunakan alamat rumah sewa untuk membeli barang, saya rasa ini peluang untuk saya sedikit sebanyak mendapat upah,” kata Nurul Ainie.
