467 views 2 mins 0 comments

Lebih 500kg Fabrik Terpakai Dikumpul, Diproses Jadi Barang Mainan, Selimut

In Berita, Kampus
October 31, 2025
Beberapa Sukarelawan sedang menyusun sisa fabrik terpakai yang disumbangkan orang ramai di pusat pengumpulan yang disediakan di DATC, di sini pada Sabtu.

SHAH ALAMLebih 500 kilogram (kg) fabrik terpakai berjaya dikumpulkan menerusi kempen Old Style, New Life anjuran Business Innovation and Technology Commercialization Centre (BITCOM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, Sabtu lalu.

Kempen yang dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat kitar semula, Life Line Clothing (LLC) ini bertujuan menyokong usaha kitar semula dan kelestarian alam sekitar yang diproses menjadi pelbagai produk baharu seperti patung mainan dan selimut.

Menurut Ketua Pelesenan Teknologi dan Pembangunan Perniagaan BITCOM, Dr. Azrin Ali, kolaborasi ini bukan sahaja bertujuan untuk mengitar semula fabrik terpakai, malah memperkukuh amalan inovasi hijau dalam kalangan komuniti.

“Melalui kerjasama ini, bahan fabrik yang dikumpul akan diproses semula menjadi produk seperti patung mainan dan selimut, malah sebahagiannya disalurkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, matlamat kempen ini bukan sekadar mengutip pakaian lama, tetapi turut mendidik masyarakat tentang bahaya pembaziran tekstil.

“Ramai masih belum sedar kepentingan mengitar semula fabrik. Kadang-kadang kita buang baju yang masih elok hanya sebab tidak ikut trend, sedangkan ia boleh diberi nafas baharu,” ujarnya.

Salah seorang sukarelawan, Nurzaifah Athirah, berkata penyertaannya dalam program ini memberi kesedaran kepadanya tentang kepentingan mengawal tabiat pembelian berlebihan.

“Ramai beli baju sebab nak ikut trend, tapi akhirnya dibuang walaupun masih elok tetapi sebenarnya kita boleh derma atau guna semula,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan para penyumbang, mereka turut menerima sijil penyertaan atas sumbangan dan keprihatinan mereka terhadap kelestarian alam sekitar.

Sisa tekstil merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan tapak pelupusan di Malaysia. 

Untuk rekod, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh SWCorp, sebanyak 432,902 tan metrik sisa tekstil dibuang oleh rakyat negara ini pada tahun 2021. 

Sarah Zulkifli
/ Published posts: 2

Fragments of what’s real