SHAH ALAM—Penganjuran julung kali Selangor International Drone Cup 2025 mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada peserta tempatan malah turut menarik penyertaan dari luar negara termasuk Korea, Australia, China, Taipei, Thailand, Singapura dan Indonesia.
Pengarah Program merangkap Presiden MyDrone, Prof. Dr. Anizu Mohd Nor, berkata, kejohanan tersebut berjaya menghimpunkan 49 juruterbang dron yang berentap dalam beberapa kategori utama termasuk Professional Double Elimination Pro Podium dan Single Elimination Sport Podium.
“Tahun ini kita buka kepada peringkat antarabangsa dengan beberapa kategori baharu dan alhamdulillah kita dapat sambutan hebat dari lapan negara yang datang bertanding.
“Platform ini memainkan peranan penting dalam mengetengahkan bakat tempatan serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab industri dron di peringkat serantau,” jelasnya.
Majlis Perasmian disempurnakan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, di sini.
Acara ini diadakan bersempena penganjuran Festival of Idea 2025 @ Selangor, sebuah inisiatif kerajaan negeri yang bertujuan untuk menggalakkan inovasi, teknologi, dan kreativiti dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Prof. Anizu berkata, kejayaan penganjuran edisi pertama ini menjadi dorongan kepada pihak UiTM dan MyDrone untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang dengan sokongan lebih kukuh daripada pelbagai agensi dan industri berkaitan teknologi udara tanpa pemandu.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan pertandingan sengit antara peserta bagi merebut gelaran juara bagi dua kategori iaitu profesional dan sukan.
Bagi acara profesional, peserta perlu melepasi pusingan kelayakan membabitkan halangan 10 set airflag, 10 set airgate, satu set double gate dan satu set dive gate, bagi merebut 16 tempat ke pusingan akhir.
Manakala, acara sukan menampilkan penyertaan juruterbang yang tidak tersenarai dalam kelompok profesional bagi meneruskan saingan dalam acara tersebut.
Pelumba Korea Selatan, Lee Minseo muncul juara kategori Professional Double Elimination Pro Podium, manakala Jingchun Yu dari China dan David Franke Dari Australia masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori sukan Single Elimination Sport Podium, Yuan Zhen Gnaw dari China muncul juara diikuti Shah Zirul (Malaysia) di tempat kedua, Frederick Tiong Kong Yaodi (China) di tempat ketiga dan Adilz Mansor (Malaysia) di tempat keempat.
Minseo turut mendominasi kategori khas MultiGP Pro Spec Podium, selepas berjaya mengekalkan konsistensi dan ketepatan sepanjang perlumbaan.
