UiTM – Setiap kali menghadiri upacara besar seperti konvokesyen, pemilihan busana adalah perkara utama yang akan diberi perhatian kerana ia mempengaruhi penampilan seseorang ketika berada bersama khalayak.
Bagi graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran, Liane Melve Grace, memilih busana etnik Murut ketika menerima ijazah pada istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), di sini, pada Rabu, memberi makna yang begitu istimewa buat dirinya.
Gadis berusia 24 tahun itu berkata, busana bermotif kontemporari itu dihasilkan sendiri oleh ibunya, Murnie Manggun, 49, khas untuk hari bersejarah tersebut.
“Baju yang saya pakai ini adalah salah satu gaun kontemporari daripada etnik suku kaum di Sabah iaitu Murut. Ini adalah hasil tangan ibu saya.
“Kebiasaan ibu saya akan mengambil masa seminggu untuk siapkan satu helai gaun. Namun, dia siapkan gaun ini hanya dalam tiga hari saja, khas untuk saya pakai pada Istiadat Konvokesyen hari ini,” katanya.
Menurut Liane lagi, dia tidak berasa malu memperagakan pakaian suku kaum ketiga terbesar di Sabah itu kerana ia adalah kesenian warisan etniknya sendiri.
“Saya merupakan salah seorang pejuang bangsa Murut di Sabah. Jika ditanya adakah saya berbangga untuk menjadi bangsa Murut atau tidak, saya sebenarnya amat bangga dengan asal usul saya.
“Saya tidak kisah andai kata kalau naik kapal terbang perlu bawa ini berat berat (pakaian tradisional), saya tidak kisah. Yang penting, saya nak tunjuk pada orang luar sana bahawa saya berasal dari bangsa Murut,” jelasnya yang juga finalis Unduk Ngadau Kebanggsaan 2024.
Selain minat terhadap busana tradisional, gadis asal Tenom ini juga aktif mempromosi bahasa tempatan Sabah dengan menjadi pengurus kelas bahasa Murut yang dibuka kepada generasi muda setempat.
“Sebenarnya, ramai anak muda mahu belajar bahasa ini, cumanya tidak tahu mahu mula dari mana. Jadi, sebagai Unduk Ngadau, saya menggunakan platform ini sebaiknya untuk memperkenalkan kelas bahasa ini kepada mereka,” tambahnya lagi.
