555 views 2 mins 0 comments

Graduan Terkejut Nama Diumum Guna AI Pada Majlis Graduasi

In Berita, Global
May 28, 2025
Seorang graduan menunjukkan kod QR untuk diimbas petugas majlis konvokesyen sebelum namanya diumumkan oleh sistem suara generatif AI. (FOTO: New York Post)

NEW YORK- Majlis graduasi yang seharusnya menjadi momen indah bagi para graduan bertukar hambar apabila kuasa kecerdasan buatan (AI) semakin berleluasa dan sedikit demi sedikit mengambil alih tugas manusia.

Itulah pengalaman yang dilalui sekumpulan graduan yang menghadiri majlis graduasi Universiti Pace di New York baru-baru ini yang terkejut apabila nama mereka diumumkan oleh AI dan bukannnya pengacara majlis seperti kebiasaan.

Hal tersebut kemudiannya menjadi bualan hangat serta mendapat reaksi pelbagai pihak, terutamanya graduan yang hadir pada hari kejadian.

Inovasi ini diperkenalkan bagi menggantikan tugas manusia di pentas utama dalam usaha mengelakkan kesilapan ketika menyebut nama graduan.

Graduan hanya perlu menunjukkan kod QR pada telefon pintar masing-masing untuk diimbas oleh pihak universiti, sebelum sistem AI menyebut nama mereka melalui pembesar suara.

Namun begitu, ramai menyatakan bahawa majlis tersebut hambar dan tidak lagi mempunyai nilai sentimental yang patut dikenang serta diabadikan.

“Saya rasa seperti berada di kiosk layan diri pasar raya, bukan di majlis graduasi,” kata seorang graduan.

Bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar, pihak universiti sebelum ini telah memaklumkan mengenai penggunaan sistem AI dan menyediakan laman web untuk membolehkan graduan menyenaraikan ejaan fonetik nama masing-masing.

Tujuannya adalah untuk memastikan nama disebut dengan tepat tanpa kesilapan.

Bagaimanapun, pelajar menyifatkan pengumuman yang dibuat oleh AI kedengaran mendatar dan tiada perasaan seperti yang diungkapkan oleh manusia.

“Tiada ucapan tahniah, tiada sambutan. Hanya suara robot,” luah seorang lagi graduan yang hadir pada hari tersebut.

Bagi graduan Universiti Pace, tidak semua majlis sesuai untuk penggunaan AI, apatah lagi majlis yang melibatkan nilai sentimental dan penghargaan sebegini.

Namun ada juga netizen di ruangan Threads yang menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang lucu.

“Malas betul! Mereka betul-betul scan telefon orang ke? Apa benda ni sebenarnya? Lelaki tu tak boleh baca nama mereka sendiri ke?”

Seorang lagi pengguna berkata: “Ya, memang nampak sangat janggal, sebab ia diimbas di situ secara terbuka untuk tontonan semua orang.

“Ia adalah keseluruhan idea bahawa kita tahu bagaimana sosej dibuat, tetapi kita sebenarnya tidak semestinya perlu melihat proses pembuatan sosej itu,” katanya.

Isu ini mencerminkan bagaimana teknologi AI kini semakin mendominasi sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan, termasuk dalam momen yang sangat bermakna dan peribadi.- New York Post

https://nypost.com/2025/05/23/tech/college-grads-shocked-as-names-are-read-at-commencement-by-ai-what-a-beautiful-personal-touch/: Graduan Terkejut Nama Diumum Guna AI Pada Majlis Graduasi
Nurul Maziah Asyiqin
/ Published posts: 1

Bertatih,masih banyak yang perlu dipelajari.