SHAH ALAM – Seramai lebih 2,000 peserta berhimpun pada program aktiviti senaman berkumpulan yang terdiri dalam kalangan warga UiTM Shah Alam dan komuniti setempat sebagai satu usaha membudayakan gaya hidup sihat, pada Khamis.
Program Wellness X34: Beat for Generation (70 Years of Evolution) anjuran pelajar semester tiga Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian), dengan kerjasama pelajar semester empat Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian) itu berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Penasihat program yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Dr. Maisarah Shari berkata penganjuran Wellness X34 mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan FSR dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kemahiran kepimpinan, pengurusan dan komunikasi.
“Inilah pengalaman yang kami mahu berikan kepada pelajar. Mereka bukan sahaja belajar di dalam bilik kuliah, malah berpeluang mengurus program berskala besar, berdepan cabaran sebenar dan membangunkan kemahiran kepimpinan, komunikasi serta kerja berpasukan yang amat diperlukan apabila memasuki alam pekerjaan nanti,” jelasnya.
Setiausaha program, Danish Haqeemie Hairol Anuar berkata sambutan yang diterima membuktikan masyarakat semakin terbuka untuk menyertai aktiviti kecergasan yang memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan kesejahteraan diri.
“Kami amat bersyukur melihat sambutan yang begitu luar biasa. Wellness X34 bukan sekadar program senaman berkumpulan, tetapi platform yang menyatukan universiti, industri dan komuniti untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripadanya,” katanya kepada Shah Alam Times.
Sementara itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Muhammad Ammar Romli menyifatkan Wellness X34 sebagai antara program senamrobik paling meriah yang pernah dianjurkan UiTM pada tahun ini.
“Saya melihat Wellness X34 sebagai program senamrobik paling meriah pada tahun 2026 dengan kehadiran hampir 2,000 peserta.
“Harapan saya agar penganjuran akan datang dapat diadakan di venue yang lebih besar seperti Stadium UiTM supaya lebih ramai warga kampus dan komuniti dapat turut serta,” katanya.

Kemuncak pengisian program tersebut adalah enam sesi senaman berkumpulan iaitu Qi-Gong, Hip Hop, Bollywood, Cardio Kick, Zumba Latina dan K-Pop yang dikendalikan oleh 53 jurulatih dalam kalangan pelajar FSR.
Program bersempena sambutan ulang tahun UiTM ke-70 UiTM itu dianjurkan FSR serta rakan strategik Herbalife dan Affin Islamic Bank Berhad, selain turut mendapat sokongan penajaan daripada Decathlon dan Co-opbank.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badaruddin, Dekan FSR UiTM, Profesor Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSR, Dr. Mohd Zulkhairi Mohd Azam.
Pada majlis sama, Affin Islamic Bank Berhad turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada FSR bagi menyokong pembangunan pelajar serta pelaksanaan aktiviti akademik dan kokurikulum.

