40 views 2 mins 0 comments

Pembinaan Laluan Pejalan Kaki Stesen LRT3 Patuhi Syarat Kelulusan – MBSA

In Berita, Komuniti
July 02, 2026
Kenyataan dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM, 2 Julai – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menegaskan pihaknya sentiasa komited menyediakan kemudahan awam yang selamat, selesa, dan mudah diakses di kawasan pentadbirannya, termasuk laluan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3 yang mula beroperasi 29 Jun lalu.

MBSA dalam kenyataanya menjelaskan, pembinaan Stesen Dato’ Menteri, Stesen Stadium Shah Alam, Stesen Seksyen 7 dan Stesen Kerjaya, mematuhi syarat penyediaan laluan pejalan kaki seperti yang diluluskan dalam pelan pembangunan stesen-stesen LRT3 pada 2019.

Bagi Stesen Dato Menteri, laluan berbumbung yang menghubungkan stesen ke Shah Alam Convention Centre (SACC), Kompleks PKNS serta sepanjang Persiaran Bandaraya sehingga bangunan Maybank.

“Pembinaan kemudahan ini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada September 2026,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, MBSA turut mensyaratkan penyediaan laluan pejalan kaki kepada pembangunan sekitar yang dilaksanakan oleh PKNS dan pemaju terlibat untuk melengkapkan rangkaian laluan pejalan kaki di kawasan itu. 

Bagi stesen Stadium Shah Alam, pelan Pembangunan telah diluluskan dengan syarat penyediaan laluan pejalan kaki dari Jalan Lontar Peluru 13/39 ke Jalan Tukul Besi 13/41 serta kawasan berhampiran Management and Science University (MSU).

“Syarat yang sama dikenakan kepada pembangunan sekitar, melibatkan MSU Aset Sdn. Bhd., Fernline Corporation Sdn. Bhd., Moripark Sdn. Bhd. dan Lebaran Prospek Sdn. Bhd. supaya rangkaian laluan pejalan kaki dapat dibangunkan secara berperingkat,” menurut kenyataan itu. 

Dalam tempoh pelaksanaan projek itu, MBSA akan mengambil langkah segera bagi memastikan kemudahan laluan pejalan kaki seiring dengan keperluan pengguna sepanjang pengoperasian LRT3 itu.

“Kerja-kerja penyediaan laluan pejalan kaki sejauh 200 meter akan dilaksanakan sebagai sambungan dari Stesen Stadium Shah Alam ke lampu isyarat Persiaran Sukan/Persiaran Akuatik dalam tempoh satu bulan.“Manakala bagi laluan dari Persiaran Akuatik ke Aeon Mall, pihak Majlis dalam proses melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf persiaran itu,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, MBSA menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan serta pihak pemaju bagi memastikan penyediaan rangkaian laluan pejalan kaki di semua stesen LRT3 bawah pentadbirannya dilaksanakan secara terancang.

Justeru, pihak Majlis akan terus memantau pelaksanaan projek itu untuk memastikan kemudahan laluan pejalan kaki memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam di Shah Alam.

Suraya Mohd Asri
/ Published posts: 3

Striving for truthful storytelling