SHAH ALAM – Program sukan dodgeball “Dodgeballism: Journies Dodgeball League” baru-baru ini, berlangsung cukup meriah, dengan objektif mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa.
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Kewartawanan (JSOC), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk beriadah, malah turut menjadi platform memperkukuh semangat kerjasama dan komunikasi.
Menurut Koordinator Program Kewartawanan yang juga Pensyarah Kanan FKPM, Dr. Khairun Nizam Mohammad Yusuff, program ini membuka peluang kepada JSOC untuk meneroka pendekatan baharu dalam penganjuran aktiviti.
Tambah Dr. Khairun Nizam, inisiatif seperti ini boleh dikembangkan kepada program berkaitan alam sekitar pada masa hadapan.
“Saya cadangkan agar pihak JSOC bekerjasama dengan mana-mana yayasan yang bersesuaian.
“Kalau kita lihat, di kawasan UiTM pun banyak lagi tempat yang kita boleh tanam pokok. Sebelum ini, kali terakhir kita buat di Cameron Highlands pada tahun 2012,” katanya ketika merasmikan program.
Sementara itu, Penasihat JSOC, Dr. Ima Liana Esa menyuarakan harapannya agar program ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar.
Beliau berharap semangat kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang aktiviti berlangsung dapat diteruskan dalam kehidupan seharian, sekali gus memupuk budaya saling membantu antara satu sama lain.
“Saya harap silaturrahim antara kita semua terutamanya dalam kalangan pelajar Journalism semakin erat kerana banyak perkara yang kita boleh saling bantu-membantu,” katanya.
Presiden JSOC, Imran Hafizi, turut menekankan kepentingan sokongan dalam komuniti pelajar.
Dia mengingatkan bahawa semua ahli JSOC adalah seperti sebuah keluarga dan tidak perlu segan untuk bertanya atau mendapatkan bantuan, sama ada berkaitan tugasan akademik mahupun perkara lain.
“Kalau pelajar memerlukan bantuan boleh beritahu pihak kami, tak kisah dari segi apa-apa sama ada kebajikan atau pun apa-apa sahaja, jangan takut untuk meminta bantuan daripada kami.
“Pihak JSOC akan cuba sehabis baik dalam membantu semua pelajar,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, program sukan dodgeball ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk semangat kesukanan, kerjasama serta hubungan yang lebih erat dalam kalangan ahli JSOC dan semua pelajar.
