SHAH ALAM – Kejayaan Datuk Azizulhasni Awang di Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Nilai baru-baru ini, bukan sekadar kemenangan biasa, tetapi manifestasi jelas semangat kekentalan seorang atlet yang tidak pernah mengalah. Dalam usia 38 tahun, ketika ramai sudah memilih untuk berundur, beliau terus berdiri di barisan hadapan dan menewaskan pelumba elit dunia.
Apa yang membezakan Azizulhasni ini bukan hanya keupayaan fizikal, tetapi kekuatan mental dan disiplin yang luar biasa. Dalam acara keirin yang penuh taktikal, beliau memperlihatkan kematangan tinggi, tenang menunggu saat terbaik sebelum melancarkan pecutan yang cukup bertenaga untuk memastikan kemenangan.
Detik itu bukan sahaja menunjukkan kehebatan teknik, tetapi juga keyakinan diri yang terbina daripada pengalaman bertahun-tahun di pentas dunia, membuktikan mengapa beliau digelar “The Pocket Rocketman”.
Lebih signifikan, kemenangan ini hadir di hadapan penyokong sendiri di Velodrom Nasional Nilai, menjadikannya lebih bermakna. Satu penutup yang cukup indah dalam karier beliau di tanah air.
Azizulhasni kini mendahului carta keseluruhan dengan 1600 mata manakala pencabar terdekatnya, Harrie Lavresyen, 29, menduduki tempat kedua dengan 1520 mata.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Amarjit Singh Gill dalam kenyataan sebelum ini, memaklumkan bahawa kejohanan tersebut merupakan peluang terakhir buat peminat tempatan menyaksikan Azizulhasni Awang beraksi di pentas antarabangsa di Malaysia.
“Saya sudah maklumkan sebelum ini, ini adalah penampilan terakhir Datuk Azizul di kejohanan antarabangsa tertinggi di Malaysia,” katanya.
Pengalaman dan ketenangan Azizulhasni jelas terserlah. Pada saat genting, beliau melancarkan pecutan yang cukup bertenaga, meninggalkan pencabar lain di belakang dan melintasi garisan penamat sebagai juara.
Sorakan gemuruh penonton mengiringi kemenangan tersebut, menjadikan suasana di Nilai begitu luar biasa. Lebih manis, kejayaan ini hadir di laman sendiri, sekali gus memberi suntikan semangat bukan sahaja kepada beliau, tetapi juga kepada seluruh peminat sukan tanah air.
“Ini contoh yang baik untuk pelumba muda. Di peringkat nasional pula, saya buktikan kepada atlet negara kita tak kira apa jua sukan, yang umur hanyalah angka. Ia berkenaan mentaliti dan jiwa” katanya.
Kata-kata beliau dibuktikan melalui prestasi dan ia menjadi mesej kuat kepada atlet muda bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh usia, tetapi oleh mentaliti, keazaman dan kesungguhan.
Secara keseluruhan, kejayaan ini melambangkan lebih daripada sekadar pingat emas. Ia adalah simbol ketahanan, inspirasi dan legasi.
Azizulhasni bukan sahaja menang di trek, tetapi juga menewaskan keraguan, had fizikal, dan jangkaan masyarakat.
Membuktikan bahawa semangat juang sejati tidak mengenal batas.
