SHAH ALAM: UiTM Cawangan Shah Alam menutup tirai Sukan SUPER UiTM 2026 selaku juara kejohanan selepas meraih 48 pingat keseluruhan, sekaligus berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.
Piala kemenangan itu disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi dalam majlis penutupan rasmi kejohanan yang berlangsung pada khamis lalu.
UiTM Shah Alam berjaya menduduki tempat pertama dengan mengutip 25 pingat emas, 11 perak dan 12 gangsa daripada lima acara sukan yang dipertandingkan tahun ini.

Kejohanan berprestij yang berlangsung pada 20 hingga 23 April di UiTM Shah Alam ini menghimpunkan atlet daripada 14 buah cawangan UiTM seluruh negara bagi merebut pingat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Antara sukan yang dipertandingkan dalam SUPER UiTM 2026 kali ini adalah silat, taekwondo, boling padang, tenpin boling dan petanque.

Gerard Bethuel Labab Whiell, 23, atlet taekwondo poomsae, kategori individu lelaki, berkata dia berasa amat bangga dengan pencapaian dirinya dalam kejohanan ini selepas berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara tersebut.
“Saya rasa sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama saya mewakili UiTM Shah Alam dan dapat bawa balik pingat emas dalam acara saya di hari pertama pertandingan.”
“Tahun lepas kita dapat lima pingat emas dan tahun ni kita berjaya tambah kepada tujuh pingat, dan ini merupakan satu pencapaian yang bagus untuk pasukan,” tambahnya.

Sementara itu, Ilhanzaidi Zulkipli, 24, atlet Taekwondo Kyorugi UiTM Shah Alam telah dinobatkan sebagai atlet kontinjen terbaik kejohanan dan juara keseluruhan.
“Saya sangat bersyukur kerana menjadi antara penyumbang pingat emas dan sebahagian daripada kemenangan pasukan.”
“SUPER tahun ni merupakan kejohanan terakhir saya dan saya harap UiTM Shah Alam dapat kekalkan kejuaraan pada musim hadapan.” ujarnya.
