801 views 35 secs 0 comments

UiTM Juara Kategori ‘Plate’ Kejuaraan Boling Padang Terbuka KL

In Berita, Sukan
December 31, 2024
Pemain pasukan boling padang UiTM B (dari kiri) Nurul Alyani Jamil, Farah Irdina Azmi, Muhammad Nash Aiman Zainol Effandy dan Nur Ain Nabilah Tarmizi (Foto: Muhammad Nash Aiman Zainol Effandy)

KUALA LUMPUR – Pasukan boling padang Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara kategori ‘plate’ di Kejuaraan Boling Padang Terbuka Kuala Lumpur 2024 yang berlangsung di Bukit Kiara, hari ini.

Pasukan yang dianggotai oleh Nurul Alyani Jamil, Muhammad Nash Aiman Zainol Effandy, Farah Irdina Azmi, dan Nur Ain Nabilah Tarmizi itu mempamerkan aksi mantap dalam perlawanan akhir mengenepikan cabaran Dami’s Properties dengan perbezaan dua mata.

Nur Ain Nabilah berkata kejayaan tersebut menjadi momen manis buat mereka walaupun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kami letakkan sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik kategori ‘cup’, namun rezeki tidak menyebelahi kami untuk mara lebih jauh dalam kategori tersebut.

“Namun, alhamdulillah, kami tetap bersyukur kerana berjaya melayakkan diri ke kategori ‘plate’ dan akhirnya membawa pulang kemenangan. Setidaknya, kami tidak pulang dengan tangan kosong untuk edisi kali ini,” kata atlet kebangsaan itu.

Semangat berpasukan yang tinggi dan kesungguhan setiap pemain dilihat menjadi kunci kejayaan UiTM B.

Sebagai ganjaran, pasukan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM800, sekaligus menjadi motivasi buat mereka untuk terus bersaing di kejohanan mendatang.

Kejohanan yang bermula 27 Disember itu turut disertai pasukan berstatus negeri, persatuan sukan, jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, serta pasukan swasta.

Solehah Azizan
/ Published posts: 6

Menginspirasi perubahan untuk dunia yang lebih baik dengan penulisan.