816 views 2 mins 0 comments

Ibu Tunggal Rayu Bantuan Rawatan Buah Pinggang Anak

In Berita, Komuniti
January 03, 2025
Noriedayu berharap ada pihak yang sudi tampil membantu meringankan kos pengangkutan anaknya, Muhammad Khairat yang menjalani rawatan dialisis di Hospital Selayang.

SEKSYEN 16 –   Seorang ibu tunggal merayu bantuan orang ramai bagi membantu meringankan beban rawatan anaknya yang menghidap penyakit buah pinggang sejak tujuh lalu.

Noriedayu Taib, 40, berkata anaknya, Muhammad Khairat Al-Syatir, 12, disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir dan kini sedang menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Selayang.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu menjalani prosedur pemasangan tiub katerer dialisis (IJC) sementara di lehernya pada Mac tahun lalu bagi membolehkannya menjalani rawatan hemodialisis.

“Bagaimanapun, sebuah katerer tetap telah dipasang di bahagian dada pada September bagi membolehkan kanak-kanak tersebut menjalani rawatan dengan lebih selesa.

“Akibat daripada keadaan kesihatannya itu, Muhammad Khairat tidak dapat hadir ke sekolah secara sepenuh masa seperti rakan-rakanya yang lain,” katanya. 

Menurut Noriedayu, dia ada menerima bantuan zakat tetapi jumlah yang diterima masih tidak mencukupi bagi menampung kos pengangkutan dari Shah Alam ke Selayang.

“Saya menggunakan perkhidmatan e-hailing setiap kali membawa anak ke hospital dan ia memerlukan perbelanjaan sebanyak RM1,200 sebulan.

“Untuk barangan dapur, Alhamdulillah saya dapat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bernilai RM300 sebulan. Pihak zakat juga ada memberikan makanan asas seperti beras dan gula.

“Jiran-jiran banyak membantu saya. Jadi kalau boleh, saya memerlukan bantuan dari segi kewangan,” katanya ketika ditemu bual Shah Alam Times.

Selain tiga anak, Nuriedayu turut menyara ibunya yang merupakan warga emas berusia 74 tahun.

Kisah adik Muhammad Khairat mula mendapat perhatian ramai selepas kisahnya dimuat naik di laman Facebook Shah Alam Residen (Tak Suka Ban Orang) atau SARBAN yang turut menyalurkan sumbangan kepadanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan adik Khairat boleh menghubungi Noriedayu Taib di talian 011-25497654.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun RHB Bank milik Noriedayu Taib yang bernombor 16205400250705.