524 views 3 mins 0 comments

Pengguna, Peniaga Resah Harga Barang Basah Meningkat

In Berita, Ekonomi, Komuniti
November 11, 2025
Cuaca tidak menentu punca kenaikan harga sayur dan hasil laut.

SHAH ALAM – Rata-rata pengguna melahirkan kebimbangan berikutan peningkatan harga barangan basah terutama ikan dan sayur di beberapa pasar sekitar Lembah Klang yang didakwa semakin membebankan sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Shah Alam Times di Pasar Seksyen 6, Shah Alam mendapati harga ikan, udang dan sayur menunjukkan peningkatan ketara dipercayai berpunca daripada cuaca tidak menentu, banjir serta kekurangan bekalan di kawasan pendaratan.

Seorang guru, Noraini Mohd Nor, 50, berkata beliau kecewa dengan peningkatan harga barangan keperluan harian kerana pendapatan rakyat tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga.

“Harga barang naik, tapi gaji tak naik, kalau nak naikkan harga, gaji pun kena naik supaya seimbang,” katanya ketika ditemui di Pasar Seksyen 6, Shah Alam.

Menurut Noraini, antara barangan yang paling ketara kenaikannya ialah udang dan sayur, yang kini menyebabkan pengguna terpaksa berjimat dalam berbelanja.

Suri rumah, Nizah Hashim, 66, berkata kenaikan harga barang ketika ini benar-benar membebankan, terutama bagi keluarga besar.

“Dulu bawa RM100 boleh beli banyak barang dapur, sekarang RM100 pun tak cukup,” katanya.

Menurutnya, harga ikan dan sayur paling terasa peningkatannya sejak beberapa minggu lalu, dan bagi menjimatkan perbelanjaan, beliau memilih untuk membeli barangan basah di kawasan tepi laut kerana harganya lebih murah dan segar.

“Saya sanggup beli di tepi laut sebab jauh lagi murah daripada pasar bandar,” katanya.

Manakala bagi pesara kerajaan, Yahya Adam, 56, kenaikan harga barang memang ketara ketika ini, namun pengguna tiada pilihan.

“Saya perasan harga cili merah besar sebelum ini RM11 sekilogram tapi kini harganya mencecah RM16 sekilogram, selain harga sayuran seperti kacang panjang,”ujarnya.

Menurutnya, kenaikan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada perbelanjaan harian terutama bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Seorang peniaga hasil laut, Agus Putra, 27,  berkata harga ikan ketika ini bergantung kepada hasil tangkapan nelayan yang semakin berkurangan setiap kali hujan dan ombak besar melanda.

Menurutnya, keadaan bulan cerah juga menjejaskan hasil tangkapan kerana ikan sukar diperoleh pada musim tersebut.

“Bulan terang ikan pun tiada, bila ikan kurang harga pun makin meningkat sebab hujan kuat dan nelayan tak boleh turun ke laut,” katanya.

Tambahnya, antara ikan yang menunjukkan kenaikan ketara ialah ikan kembung yang meningkat daripada RM16 kepada RM22 sekilogram, manakala, harga udang pula mencatatkan peningkatan paling tinggi berbanding hasil laut lain pada masa ini.

Azmi (kanan) meneruskan jualan harian walaupun berdepan kenaikan harga di pasaran.

Sementara itu, peniaga sayur, Azmi Ali, 48, berkata bekalan sayur juga terjejas apabila kebun dan ladang mengalami kerosakan akibat hujan lebat.

“Cili sebelum ini RM13 kini RM14 sekilogram, manakala kacang panjang naik daripada RM5 kepada RM7,” katanya.

Kenaikan harga barangan basah dijangka terus meningkat berikutan musim monsun timur laut yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan, sekali gus memberi kesan terhadap bekalan hasil laut dan pertanian di pasaran tempatan.

Nurnadia Nadira
/ Published posts: 1

Driven by stories, guided by facts.