SHAH ALAM – Kecewa dengan harga barang keperluan harian di kedai serbaneka kolej kediaman yang didakwa tidak masuk akal, segelintir pelajar perempuan sanggup berjalan kaki hampir dua kilometer untuk membeli barangan tersebut dari pasaraya atau kedai runcit di luar kampus.
Menurut Nur Syamimi Yusuf, 22, perbezaan harga yang ketara menyebabkan dia lebih cenderung berjalan kaki ke premis luar seperti kedai serbaneka yang menawarkan harga yang jauh lebih murah.
“Harga bagi sesetengah barangan keperluan agak membebankan pelajar terutamanya melibatkan produk penjagaan diri dan sabun yang dijual jauh lebih mahal di kedai serbaneka kolej berbanding di luar.
Dia yang juga pelajar Fakulti Akademi Pengajian Bahasa berharap pihak pengurusan universiti dapat menyemak semula struktur harga tersebut selain mengambil kira maklum balas daripada para pelajar.
Berkongsi pengalaman sama, Nurain Afifah Azrol Imran, 22, juga terpaksa memendam rasa untuk membeli makanan ringan kerana harganya yang mahal berbanding di luar.
“Saya berasa agak terkejut apabila melihat harga barangan di kolej dan kedai runcit kerana perbezaannya yang ketara. Sebagai contoh, mi segera dalam cawan dijual pada harga RM3.20 di dalam kampus, sedangkan di luar harganya hanya RM2.40,
“Harga barang asas seperti produk penjagaan diri dan makanan segera yang mahal menyababkan kami terpaksa membayar harga yang tinggi dari yang sepatutnya”, tambahnya lagi.

Eva Samantha Gustin, 22, juga berpendapat bahawa membeli barangan di pasar mini luar kampus memberi ruang untuk pelajar berjimat berbanding di kedai serbaneka kampus.
“Saya merupakan pelajar yang jauh diperantauan, jadi setiap sen yang keluar dari dompet sangat bernilai, saya lebih sanggup berjalan di bawah terik panas jika itu ‘harga’ yang perlu saya bayar untuk terus berjimat-cermat”.
Tinjauan Shah Alam Times di beberapa kedai serbaneka dalam kampus mendapati produk cucian seperti cecair pencuci pakaian jenama Breeze 3.6 kilogram dijual pada harga RM29.90, berbanding RM19.95 di luar kampus, berbeza hampir RM10.
Manakala, cecair pencuci pakaian jenama TOP 3.6 kilogram (RM29.90), berbanding RM22.95 di premis luar.
Bukan itu sahaja, syampu jenama Safi Shayla 320 gram dijual pada harga RM14.90 di dalam kolej, tetapi boleh dibeli dengan harga RM9.50 sahaja.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menjelaskan bahawa pengurusan universiti sentiasa komited memantau harga barangan selari dengan saranan kementerian, namun mengakui terdapat kekangan dari segi tenaga kerja untuk pemantauan 24 jam.
Justeru, beliau menyeru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk terlibat secara aktif menjadi mata dan telinga pihak universiti dengan melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Kuncinya adalah pemantauan. Staf Hal Ehwal Pelajar (HEP) tidak mampu pantau semua setiap masa. Saya sarankan pelajar atau MPP tubuhkan satu mekanisme atau aplikasi untuk memantau harga ini.
“Kadang-kadang bila pengurusan turun padang, harga nampak bagus, tapi bila pelajar beli, harganya lain. Jadi, bantulah kami dengan menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa universiti bagi melindungi sesama mahasiswa,” tegas beliau.
