SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), bagi memperkukuh pembangunan sukan skuasy.
Kerjasama strategik ini merangkumi program pembangunan atlet, penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa serta penggunaan fasiliti dan kepakaran UiTM dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan sukan.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, menzahirkan harapan yang tinggi terhadap kerjasama yang dimeterai bersama SRAM ini.
“Dengan kerjasama ini diharapkan dapat memberi impak yang positif kepada pembangunan serta mutu sukan UiTM dan negara dalam sukan skuasy.
“Ini selari dengan pelan strategik Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui inisiatif When The Lions Roar dan Olympic Dreams, yang bertujuan meningkatkan mutu sukan UiTM melalui jalinan kerjasama dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan”,katanya dalam satu kenyataan.
Monteiro ketika ditemui berkata, Mou ini juga bertujuan untuk menyerap atlet skuasy dari Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk menyambung pelajaran dan latihan mereka di UiTM selepas tamatnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kami juga akan menghantar beberapa orang jurulatih dan mengadakan pelbagai aktiviti skuasy disini agar kita boleh menyediakan pemain sandaran untuk skuad kebangsaan mahupun negeri.
“Pemain-pemain kami yang berada sini mengatakan bahawa mereka ada waktu belajar dan peperiksaan yang sangat fleksibel, jadi ini sangat membantu para pelajar yang seri bertanding untuk memenuhi keperluan pendidikan mereka”, ujarnya ketika ditemui.
MoU ini ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi mewakili Naib Canselor UiTM dan Monteiro di Pusat Sukan, UiTM Shah Alam.
Pada majlis sama turut berlangsung penyampaian insentif kemenangan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang menyaksikan UiTM muncul juara keseluruhan.
