928 views 43 secs 0 comments

Mohamad Adib Hazim dilantik YDP MPP UiTM Shah Alam

In Kampus
November 20, 2025
Barisan tertinggi MPP UiTM Shah Alam yang telah secara rasmi dilantik pada 16 November lalu.

SHAH ALAM – Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali, dipilih menyandang jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bagi sesi 2025/2026, sekaligus melakar sejarah sebagai YDP pertama daripada ACIS yang menjawat jawatan tersebut.

Pemilihan Mohamad Adib Hazim, 22, dibuat dalam satu mesyuarat tertutup melibatkan kesemua 30 calon yang memenangi kerusi MPP di fakulti masing-masing dalam Pilihan Raya MPP kampus tersebut, minggu lalu.

Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Industri Halal itu menang kerusi ACIS dengan majoriti 732 undi menewaskan enam lagi calon yang bersaing merebut kerusi bagi fakulti tersebut.

Bagi jawatan Naib YDP pula disandang oleh wakil MPP Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Ajwad Syakirin Mohd Asri yang memperoleh 892 undi bagi fakultinya.

Sementara itu, MPP Fakulti Sains Gunaan, Najwa Zaidi dilantik Setiausaha Agung, manakala jawatan Bendahari Kehormat disandang wakil Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Noor Azreen Noor Zailani.

Untuk rekod, lebih 65 peratus pelajar UiTM Shah Alam keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 hingga 13 November lalu.

Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan 67 calon daripada 15 fakulti, menjadikan ia antara pilihan raya kampus yang kompetitif.

Kabinet baharu ini diharap dapat terus memperkasa suara kampus khususnya dalam isu berkaitan pembangunan dan kebajikan pelajar, seiring aspirasi UiTM untuk memperkukuh budaya demokrasi dan keterlibatan mahasiswa.

Nik Iman
/ Published posts: 6

Kebenaran tak perlu dihias