SHAH ALAM – Syarikat perkhidmatan katering, Sidah Catering Services (M) Sdn. Bhd. meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dalam bidang pendidikan dengan menaja pelbagai aktiviti anjuran institusi pengajian tinggi dan sekolah di negeri Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidah Catering, Datuk Mohd Adam Mohd Anuar berkata, penajaan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat dalam menyokong pembangunan dan kebajikan pelajar, selain mengukuhkan jenamanya dalam bidang katering dan sajian di negeri ini.
“Syarikat telah lama menjalinkan hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Selangor (UNISEL), Multimedia University (MMU) dan beberapa sekolah rendah sekitar Selangor.
“Tajaan yang diberikan termasuk dalam bentuk makanan, pakaian korporat dan sumbangan kewangan. Ia adalah cara pihak kami memberi semula kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya dalam temubual bersama Shah Alam Times, di pejabatnya di Wisma Sidah di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohd Adam lagi, sehingga Oktober tahun ini, Sidah catering telah menyumbang lebih RM50,000 dalam bentuk tajaan kepada pelbagai pihak.
Tambahnya lagi, sejak cara keseluruhan sumbangan CSR yang disalurkan pihaknya sejak tahun 2004 telah melebihi sejuta ringgit.
Dalam pada itu, Sidah Catering memperkukuh komitmen terhadap pembangunan komuniti dengan melancarkan beberapa program kebajikan termasuk program berbuka puasa bersama pelajar asnaf dan sumbangan kebajikan kepada pelajar yang menjadi mangsa banjir.
“Pelaksanaan inisiatif CSR bukan sekadar tanggungjawab sosial semata-mata, tetapi ia juga satu pelaburan jangka panjang dalam membina hubungan baik antara syarikat dan masyarakat,” ujarnya.
Sidah Catering bermula sebagai operator kantin sekolah pada tahun 1997 sebelum mengembangkan perniagaan dengan membuka sebuah restoran di Seksyen 7 pada tahun 2004.
Syarikat tersebut yang dikendalikan sepenuhnya oleh ahli keluarga Mohd Adam kini mempunyai lima cawangan restoran dan menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan dan pertunangan, acara korporat, serta kerajaan.

Very informative and congratulations to SMF for getting those very cool shirts!