529 views 2 mins 0 comments

Patuhi garis panduan pusat servis kenderaan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang – MBSA

In Berita
November 08, 2025
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Semua pengusaha pusat servis kenderaan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diingatkan supaya mematuhi garis panduan aktiviti yang disediakan jika tidak mahu berdepan sebarang tindakan undang-undang.

Timbalan Setiausaha Pembangunan MBSA, TPr Aniza Osman berkata, peringatan tersebut dibuat susulan didapati banyak syarat-syarat yang ditetapkan gagal dipatuhi di samping aduan orang ramai berhubung tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha pusat servis kenderaan di bandaraya ini yang didakwa menimbulkan masalah kepada awam.

“Kita banyak dapat aduan bunyi bising, limpahan air kotor, longkang tersumbat dan pengubahsuaian struktur tanpa kebenaran di premis berkenaan.

“Jika aktiviti itu didapati tidak sesuai beroperasi di kawasan sedia ada, maka pengusaha tersebut harus mencari lokasi lain mengikut kriteria yang ditetapkan di dalam Garis Panduan,” katanya pada sesi town hall Garis Panduan Aktiviti Servis Kenderaan di Premis Kedai Pejabat dan Kedai Pangsapuri di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini, semalam.

Garis panduan tersebut bakal menjadi dokumen rujukan kepada MBSA dalam mempertimbangkan kelulusan dan pemberian lesen perniagaan terhadap aktiviti berkenaan.

Selain itu, ia juga bertujuan mengawal jenis-jenis aktiviti berbentuk pusat servis di kawasan komersil, di samping mengurangkan aduan yang diterima daripada orang awam.

Pusat servis kenderaan merujuk kepada premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan cucian, aksesori, tayar, dan bengkel baik pulih kenderaan.

Menurut Aniza lagi, semua pengusaha diberikan tempoh enam bulan, iaitu bermula pada Januari 2026 sehingga akhir Jun 2026 untuk memenuhi syarat-syarat garis panduan yang ditetapkan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Tadi kita dah jelaskan supaya mereka maklum dan seharusnya mematuhi garis panduan tersebut,” tegasnya.

Jumlah permohonan lesen perniagaan pusat servis kenderaan yang diterima sehingga Julai 2025 adalah sebanyak 1555 permohonan.

Dari jumlah tersebut permohonan ditolak kerana tidak mematuhi syarat adalah sebanyak 431. Sebanyak 189 kompaun telah dikeluarkan oleh MBSA kepada premis yang gagal memiliki lesen sah.

Shafilah Nizam
/ Published posts: 2

Storyteller | Listener | Believer in the power of words.