SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu terus kekal sebagai institusi pendidikan tinggi yang memelihara amanah untuk memperkasa agenda pendidikan orang Melayu dan bumiputera.
Perkara tersebut ditegaskan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang menyelar sebarang cubaan untuk mengubah asas penubuhan institusi keramat itu yang berjaya meningkatkan taraf sosioekonomi pribumi di negara ini.
“UiTM hendaklah terus dipertahankan sebagai institusi yang berteraskan amanah ini dan saya tidak berkenan sekiranya terdapat mana-mana pihak membuat cubaan mengubah, menggugat atau memesongkan tujuan penubuhannya,” titah baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104, di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan atas kejayaan menamatkan pengajian, serta menghargai peranan ibu bapa dan keluarga yang menjadi tulang belakang kepada pencapaian tersebut.
“Tiada noktah dalam menuntut ilmu dan hanya mereka yang berusaha akan diberi petunjuk.
“Dengan perubahan landskap ekonomi global, para graduan perlu sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri, berfikiran kritis dan berdaya saing,” titah baginda lagi.
Pada masa yang sama, baginda menzahirkan keprihatinan terhadap ketegangan geopolitik dunia ketika ini, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kestabilan ekonomi serta kesejahteraan sejagat.
“Keadaan dunia yang tidak menentu ini sewajarnya menjadi iktibar kepada kita semua agar sentiasa bersedia, berwaspada dan mengutamakan perpaduan dalam apa jua keadaan,” titah baginda.
Seramai 25,336 graduan menerima penganugerahan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104, yang bermula hari ini sehingga 23 Mei 2026.
Turut berlangsung pada sidang sama adalah pelantikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Kee Mustafa sebagai Pro-Canselor UiTM.
Pelantikan tersebut dibuat dengan perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor berdasarkan Akta Universiti Teknologi MARA 1976.
