Shah Alam – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan inisiatif Program Makan Percuma dengan mengagihkan 300 kupon kepada komuniti Seksyen 28, Shah Alam, pada Khamis, minggu lalu.
Program yang bertujuan menangani impak kos sara hidup itu menyasarkan golongan kurang berkemampuan dari segi ekonomi di bawah kawasan pentadbiran MBSA, termasuk pekerja industri, penjawat awam serta mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program tersebut mendapat kerjasama baik daripada Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan penggerai terpilih.
“Bagi Seksyen 28, ini merupakan kawasan pertama kami jalankan program ini dan bagi lokasi seterusnya akan bergerak di kawasan tengah dan juga di kawasan utara untuk mengenalpasti gerai – gerai di bawah kelolaan pihak MBSA yang memerlukan sokongan daripada pihak kami.
“Kupon bernilai rm10 diberikan kepada 300 pengunjung terawal yang hadir dan mereka boleh bergerak ke gerai-gerai terpilih yang berada di bawah kelolaan MBSA untuk program Makanan Percuma ini.
“Ini merupakan satu usaha inisiatif MBSA untuk menyantuni masyarakat yang berada di sekitar Shah Alam sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu tiada kemiskinan (SDG 1) dan Komuniti dan Bandar Mampan (SDG 11) yang mana kita ingin mendekatkan pihak MBSA bersama komuniti setempat,” katanya.
Program disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Adzar, dan turut dihadiri oleh ahli-ahli majlis serta pengurusan MBSA.
Untuk rekod, inisiatif tersebut diperkenalkan sejak 2024 di bawah program Masyarakat Prihatin MBSA.
Sementara itu, penuntut universiti awam, Haziq Khairul, 22, menyifatkan usaha MBSA sebagai satu langkah bermanfaat khusus kepada pelajar IPT yang terpaksa menguruskan perbelanjaan seharian dengan bajet yang terhad.
“Sebagai pelajar IPT, memang terasa sangat dengan kenaikan harga makanan sekarang, lebih-lebih lagi di kawasan bandar seperti Shah Alam dan bila MBSA buat program kupon RM10 macam ni, sekurang-kurangnya adalah juga penjimatan untuk duit makan saya hari ini,” jelas Haziq ketika ditemui di lokasi program.

