972 views 49 secs 0 comments

Amaran Banjir Kilat di Shah Alam: Penduduk Dinasihati Berjaga-jaga – MBSA

In Berita, Komuniti
November 24, 2025
Anggota MBSA memantau paras air hujan yang telah meningkat di Kampung Kubu Gajah, Seksyen U17 pagi ini. - Kredit: Instagram sacitycouncil

SHAH ALAM – Hujan lebat yang melanda Shah Alam pagi ini menyebabkan paras air meningkat dengan pantas di beberapa kawasan perumahan dan jalan raya utama. 

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)  mengeluarkan amaran bagi menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan kawasan-kawasan berisiko tinggi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MBSA, beberapa kawasan dilaporkan terjejas teruk dan sedang dipantau rapat oleh pihak berkuasa termasuk Taman Desa Kemuning di Seksyen 35, Kampung Budiman (Seksyen U14), Kampung Kubu Gajah (Seksyen U17), kawasan Giant di Seksyen 13.

Turut terlibat Taman Sri Lembayung di Seksyen 25, Jalan Opera di Seksyen U2, Persiaran Jubli Perak di Seksyen 19, dan Jalan Mat Raji di Padang Jawa, Seksyen 16.

Beberapa jalan utama di Seksyen 25 yang  terjejas termasuklah Jalan Mantap 25/126, Jalan Sentosa 25/129, dan Persiaran Budiman, selain Persiaran Perusahaan di Seksyen 23.

Penduduk di kawasan rendah dan berisiko dilanda banjir seperti Seksyen 25 dan Padang Jawa dinasihatkan untuk terus peka dengan perkembangan cuaca dan paras air semasa.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa melalui kawasan yang dinaiki air dan menggunakan laluan alternatif kawasan tersebut. 

“Patuhi arahan pihak berkuasa, terutamanya jika diminta untuk berpindah, dan bersiap sedia untuk berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang telah disediakan,” kata kenyataan itu.

Orang ramai boleh merujuk laporan terkini daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau laman media sosial rasmi MBSA untuk mendapatkan maklumat sahih.

Shafilah Nizam
/ Published posts: 2

Storyteller | Listener | Believer in the power of words.