34 views 4 mins 0 comments

Bermodalkan Gaji RM 150, Kini Intai Peluang Buka Cawangan Baru

In Berita, Bisnes, Ekonomi, Usahawan
May 15, 2026
Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Mizuki Cakes and Cafe Sdn Bhd, Muhammad Fakharuddin Zulkefly (Foto oleh Farisha Faisal)

PUNCAK ALAM – Menceburi bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B) bukanlah satu jalan yang mudah, lebih-lebih lagi bagi anak muda yang memulakan langkah dari dapur rumah.

Bagi Pengarah Bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mizuki Cakes and Cafe Sdn Bhd, Muhammad Fakharuddin Zulkefly, 33, peralihan daripada perniagaan dari rumah atau home-based kepada kedai fizikal menjadi satu percaturan yang menguji ketahanan peringkat awal pengoperasian syarikat itu atau lebih dikenali sebagai Mizuki’s.

Ditubuhkan pada Jun 2021, Mizuki’s diterajui oleh Muhammad Fakharuddin yang merupakan graduan Teaching English As A Second Language (TESL) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama adiknya, Nur Farzana Zulkefly yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO).

Menurut Muhammad Fakharuddin, demi mengumpul modal untuk membuka satu kedai fizikal, mereka terpaksa mengehadkan perbelanjaan peribadi dan menggajikan diri mereka pada kadar paling minimum.

“Semasa beroperasi dari rumah, kami hanya menerima gaji sebanyak RM 150 sebulan selama hampir satu tahun setengah.

Segala keuntungan yang diraih, kami akan simpan selain mendapat sedikit bantuan kewangan daripada ibu bapa,” katanya kepada Shah Alam Times.

Menceritakan tentang fasa awal kejayaan membuka cawangan fizikal pertamanya, dia berkata rizab tunai syarikat hanya berbaki RM 2,500 di dalam akaun.

Katanya, mereka hampir terpaksa menggulung tikar pada bulan pertama pengoperasian kedai, susulan kos yang perlu ditanggung oleh syarikatnya.

“Kos sewa bulanan mencecah RM 3,500, gaji pekerja pula RM 3,000 manakala kos bahan mentah sekitar RM 2,500,” ujar Muhammad Fakharuddin yang juga melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Pendidikan (Kurikulum dan Pembangunan) di Universiti Malaya.

Namun, landskap perniagaan mereka berubah 360 darjah apabila kafe itu tular di media sosial dan melonjakkan bilangan pelanggan secara mendadak, memaksa tenaga kerja terawal mereka, termasuk ibunya sendiri untuk bekerja keras mengendalikan pesanan.

Meskipun perniagaan itu mula menemui rentaknya, mereka masih mengekalkan disiplin kewangan dengan hanya menaikkan gaji sendiri kepada RM 300 sebulan bagi tahun berikutnya.

Mengulas mengenai hala tuju dan konsep perniagaan, Mizuki’s mengambil langkah berani dengan mempamerkan resipi dan gaya Korea dengan sasaran jangka panjang untuk menjadi kafe kek berkonsepkan Korea nombor satu di Malaysia.

“Kualiti rasa yang premium dan rekaan comel adalah DNA utama produk keluaran kami,” ujarnya.

Pelbagai jenis dekorasi kek yang disediakan oleh Mizuki’s

Dalam pada Mizuki’s dilihat semakin kukuh, Muhammad Fakharuddin mengakui industri F&B masa kini memerlukan strategi jitu dan daya saing yang tinggi ekoran kenaikan kos bahan mentah dan persaingan sengit.

Pembukaan banyak kafe baharu dengan modal pemasaran yang lebih besar menyebabkan pemain industri terpaksa berkongsi ruang pasaran yang sama, selain lokasi operasi Mizuki’s yang terletak di Eco Grandeur, di sini menghadapi cabaran dari segi logistik untuk ke premis mereka.

“Lokasi ini cantik, tetapi perniagaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada populasi pelajar universiti memandangkan mereka bercuti lebih kurang enam bulan dalam setahun.

“Walaupun jenama kami dikenali sehingga ke utara tanah air, agak sukar untuk menarik pelanggan luar untuk memandu berjam-jam semata-mata untuk ke Puncak Alam,” jelasnya.

Lokasi Mizuki’s yang terletak di Eco Grandeur, di sini

Menyedari kekangan tersebut, Mizuki’s turut memberi tumpuan kepada pemasaran digital yang agresif, melalui strategi di TikTok yang membuahkan hasil apabila berjaya merekodkan 25 juta tontonan dalam tempoh 365 hari, menjadikan jenama mereka lebih menonjol di pasaran.

Melihat ke hadapan, syarikat itu sedang melakukan perancangan strategik untuk melebarkan sayap ke lokasi yang lebih strategik, iaitu di pusat bandar raya.

“Buat masa ini, kami masih dalam proses untuk memperkemas sistem dan operasi syarikat kami.

“Namun, visi kami adalah untuk membuka cawangan di kawasan tumpuan utama seperti di Bukit Bintang atau SS15 pada masa akan datang bagi memudahkan pelanggan menikmati produk kami,” katanya.

Haikal Yuri
/ Published posts: 7

Kuasa tinta merentasi jagat samudera

Twitter
Facebook
Youtube
Linkedin
Instagram