SHAH ALAM: Walaupun ini merupakan kali pertama mereka menyertai kejohanan Super School Rugby Academy, pasukan rugby SMK Shah Alam, Aras Antlers, telah berjaya melangkah sehingga ke peringkat suku akhir.
Pencapaian cemerlang pada penampilan sulung pada pertandingan berprestij tersebut menjadi motivasi untuk pasukan tersebut tampil lebih garang pada kejohanan akan datang.
Ketua jurulatih pasukan, Alif Asyraf Che Mohd Yusof, menyatakan bahawa meskipun pasukannya tidak berjaya melangkah lebih jauh, pengalaman yang diperoleh sepanjang kejohanan amat bernilai untuk perkembangan pasukan.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi anak-anak buah saya memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman sebelum ini.
“Mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi dan berkembang dengan baik sepanjang kejohanan,” katanya.
Aras Antles sebelum itu berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan Akademi Cobra (Cobra) dengan 14-13 dan Maktab Sultan Ismail (SIC) dengan 39-9 sebelum tumpas kepada Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan 0-36.
Kejayaan mara ke suku akhir dianggap sebagai isyarat jelas terhadap potensi besar yang dimiliki oleh barisan pemain muda pasukan itu.
Semangat serta komitmen tinggi ditunjukkan membuktikan bahawa pasukan yang berpangkalan di Shah Alam itu mampu bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman.

Aras Antlers ditubuhkan pada tahun 2020, dan masih berada di peringkat awal pembinaan pengalaman dan strategi.
Mengulas lanjut, Alif Asyraf berkata, pasukannya tidak akan berputus asa, sebaliknya berazam untuk meneruskan latihan secara intensif.
“Kami bertekad untuk melakukan kebangkitan pada kejohanan akan datang dengan persiapan rapi dan strategi yang lebih mantap.
