DENAI ALAM: Hari pertama sesi persekolahan 2026/2027 di Sekolah Kebangsaan (SK) Denai Alam berlangsung meriah dengan kehadiran ratusan ibu bapa dan penjaga, di samping kemunculan maskot Marrybrown yang menceriakan suasana serta menaikkan semangat pelajar baharu.
Pelajar kelihatan hadir dengan wajah ceria, mengenakan uniform serba baharu, membawa beg sekolah yang masih bersih, dan semangat yang berkobar-kobar.
Namun, di sebalik keterujaan itu, terselit juga rasa cemas, khususnya dalam kalangan murid Tahun Satu yang pertama kali menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Ibu kepada empat orang anak, Asmalina, 32, yang menghantar anak bongsunya yang merupakan murid Tahun Satu, inisiatif pihak sekolah untuk menyambut pelajar baharu dengan memberikan buah tangan, adalah satu langkah yang bijak.
“Semasa dalam perjalanan ke sekolah, anak saya amat gementar dan takut, tetapi sambutan mesra pihak sekolah membuatkan dia kelihatan lebih tenang dan seronok.
“Saya gembira melihat semangatnya untuk memulakan alam persekolahan,” ujarnya.
Bapa kepada salah seorang pelajar Tahun Empat, Hafiz Zuhair, 37, berkata beliau menghargai setiap inisiatif pihak sekolah dalam menyemarakkan semangat pelajar baharu untuk memulakan sesi persekolahan termasuk pemberian susu Farm Fresh percuma yang ditaja oleh pihak PIBG sekolah.
“Saya benar-benar menghargai inisiatif pihak sekolah, termasuk pemberian susu percuma ini.
“Budak-budak juga rasa lebih bersemangat, jadi tidaklah begitu sedih kalau ibu bapa balik,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Mohd Amir Norazlan, 12, berkongsi rasa terujanya untuk datang ke sekolah untuk berjumpa rakan-rakannya.
“Saya teruja untuk berjumpa rakan-rakan, terasa seperti setahun tidak bertemu mereka,” katanya.
Beberapa situasi mencuit hati turut berlaku, termasuk pelajar yang hampir menangis apabila ibu bapa mula melangkah pergi.
Walau bagaimanapun, pihak sekolah pantas membantu menenangkan pelajar bagi memastikan sesi persekolahan berjalan lancar.
Secara keseluruhannya, hari pertama persekolahan di SK Denai Alam membuktikan bahawa sambutan mesra dan suasana yang ceria mampu membangkitkan semangat pelajar baharu serta mengurangkan rasa gementar mereka.
