30 views 3 mins 0 comments

Idea dan Modal Kecil Berjaya Jana Pendapatan

In Bisnes, Ekonomi, Usahawan
July 16, 2026
Kit farmasi mini yang dihasilkan oleh Nurul Insyirah

SHAH ALAM – Dari sekadar tugasan kursus, siapa sangka ia bertukar menjadi sebuah perniagaan kecil yang bukan sahaja menjana pendapatan sampingan, malah memudahkan kehidupan ramai pengguna.

Idea cetusan ilham Nurul Insyirah Nayusdi, 20, berjaya mencipta sebuah kit farmasi mini yang pada awalnya hanya bertujuan memenuhi keperluan subjek keusahawanan digital. 

Penuntut kolej politeknik di Bangi itu berkata dia ingin mencari produk yang tidak ramai orang menjualnya disebabkan persaingan yang lebih rendah.

“Masa tinggal di asrama dulu, saya selalu sediakan satu kotak kecil yang berisi ubat-ubatan asas untuk kegunaan sendiri.

“Dari situ saya terfikir, kenapa tak jadikan idea itu sebagai satu produk yang lebih kemas, cantik dan mudah dibawa ke mana-mana,” katanya kepada Shah Alam Times.

Dengan modal permulaan sekitar RM 120, Nurul Insyirah mula menjalankan perniagaan tersebut pada Mei tahun ini dengan hanya menghasilkan lima unit bagi kumpulan pertama bagi memenuhi tugasan subjek.

Pada peringkat awal, produk ini dipromosikan melalui platform media sosial seperti Threads dan TikTok untuk melihat sambutan pembeli dengan sasaran asal hanya mahu mencapai jualan sebanyak RM 300.

“Pada mulanya saya agak risau sebab video TikTok saya tak sampai 100 tontonan dan tak ramai yang memberi maklum balas,” ujarnya.

Namun, sambutan yang diterima di media sosial di luar jangkaan apabila ramai mula bertanya mengenai harga, kandungan di dalam kit dan cara membuat tempahan. 

Situasi ini membuatkan Nurul Insyirah sedar bahawa produk yang diberi nama Mini Pharmacy Kit mempunyai potensi yang besar sebagai satu perniagaan yang boleh diteruskan walaupun selepas tamat tugasan kursus tersebut.

Antara ubat-ubatan yang disediakan dalam Mini Pharmacy Kit

Setiap kit mengandungi ubat-ubatan asas yang lazim digunakan untuk kegunaan sementara seperti ubat-ubatan, plaster dan minyak angin.

Malah, pelanggan juga boleh membuat permintaan khas untuk menambah beberapa jenis ubat tertentu mengikut keperluan mereka.

Selain perlu membahagikan masa antara kuliah dan tugasan, Nurul Insyirah turut menguruskan sendiri setiap proses perniagaan termasuk membalas mesej pelanggan, membeli bekalan kandungan di dalam kit, membungkus produk dan menguruskan penghantaran.

“Kadang-kadang saya terpaksa tutup tempahan sementara bila musim peperiksaan.

“Ada juga tempahan dalam kuantiti besar yang saya terpaksa tolak sebab saya uruskan semuanya seorang diri,” katanya.

Walaupun keuntungan yang diperoleh masih sederhana, Nurul Insyirah mengakui pendapatan daripada perniagaan itu sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan harian serta kos pengajian. 

Lebih penting, pengalaman tersebut memberi peluang kepadanya mempelajari selok-belok mengatur strategi perniagaan, merancang kewangan dan komunikasi dengan pelanggan ketika sedang belajar.

Edrinna Junaidi
/ Published posts: 4

Sentiasa ada cerita