SHAH ALAM – Inisiatif e-baucar buku MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menerima reaksi positif khususnya daripada mahasiswa institut pengajian tinggi yang dilihat dapat meringankan beban kewangan mereka secara langsung.
Pelajar yang memenuhi syarat kelayakan boleh mula menebus Baucar Buku MADANI bermula 15 Julai 2026 (Rabu), jam 11.00 pagi menerusi portal MySiswaPlace.
Inisiatif yang dilancarkan secara berperingkat itu dilihat dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih baik, khususnya dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini.
Bagi mahasiswa institusi pengajian tinggi, Intan Nur Nadhirah Mohd Rahman, 22, bantuan berbentuk baucar buku ini bukan sahaja memudahkan pelajar untuk mendapatkan bahan rujukan akademik, malah ia membolehkan mereka menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih bijak.
“Pelajar universiti kebanyakannya perlu mengeluarkan kos yang sangat tinggi untuk membeli bahan akademik seperti buku rujukan, buku panduan ulang kaji dan sumber pembelajaran yang lain.
“Namun, dengan adanya baucar buku ini, pelajar boleh memperuntukkan lebih banyak bajet harian mereka yang terhad untuk keperluan lain seperti pengangkutan, makanan, penginapan dan akses internet,” katanya kepada Shah Alam Times.
Nurafrina Batrisyia Zainal, 22, berkata bantuan ini juga merupakan salah satu langkah yang terbaik untuk menerapkan amalan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, dengan wujudnya inisiatif ini, pihak kerajaan dapat memastikan pelajar mempunyai akses kepada bahan pembelajaran yang berkualiti tanpa terbeban dengan kos akses bahan bacaan yang tinggi.
Dia yang juga merupakan pelajar tahun kedua di institusi pengajian tinggi awam itu berpendapat bahawa selain daripada bantuan baucar buku, pihak kerajaan boleh memperkenalkan bantuan yang lebih menyeluruh untuk memenuhi keperluan pelajar, merangkumi pelajar sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti.
“Pada pandangan saya, pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan syarikat pengeluar alat tulis dan elektronik untuk penawaran diskaun pembelian atau subsidi terhadap pembelian alat tulis, komputer riba dan aksesori pembelajaran yang lain.
“Hal ini juga amat penting untuk mengurangkan beban kewangan serta membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian mereka,” jelasnya.
