Shah Alam – Kedai serbaneka, Fleximart yang memulakan operasinya awal bulan ini mendapat sambutan positif daripada orang ramai yang tinggal di sekitar Seksyen 7 dan kawasan sekitarnya.
Pengurusnya, Abdul Hadie Suhaimi berkata, lebih 100 pelanggan mengunjungi kedai tersebut setiap hari dan meningkat terutamanya pada hujung minggu.
“Pada hari Sabtu dan Ahad, kami mencapai sasaran paling tinggi sehingga melebihi RM5000.
Antara produk yang mendapat permintaan tinggi adalah Chicken cutlet dan chicken popcorn, selain makanan panas serta menu “ready to eat” yang diinspirasikan daripada budaya makanan tempatan.
“Manakala, produk dalam kategori runcit seperti telur dan pencuci pakaian isi semula berharga RM1 seliter kekal sebagai produk terlaris manakala kopi dan aiskrim menjadi pilihan kegemaran pelanggan,” jelasnya kepada Shah Alam Times.
Fleximart merupakan inisiatif daripada bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilancarkan pada 1 November lepas.
Tambah Abdul Hadi, Fleximart juga menyediakan platform penyertaan vendor seperti pembekal tempatan yang menjual bubur lambuk pada harga RM4.
Inisiatif tersebut seiring matlamat Fleximart di bawah Ayuh Malaysia untuk mewujudkan peluang pendapatan tambahan dalam komuniti setempat.
Abdul Hadie berkata, aspek keselamatan makanan ditekankan untuk setiap vendor yang wajib menjalani kursus pengendalian makanan dan memiliki vaksin Typhoid demi menjaga kualiti makanan.
Fleximart juga berhasrat untuk mengaplikasikan penggunaan MySara, namun ia masih dalam perancangan awal.
“Kita mendapat permintaan pelanggan namun Fleximart baru beroperasi dan belum mempunyai rekod kewangan kukuh untuk mengaplikasikan penggunaan MySara,” ujarnya lagi.
Ditanya tentang strategi yang digunakan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, Abdul Hadi memberitahu, ketika ini pihaknya giat berbincang dengan pembekal yang mampu menawarkan kepelbagaian barangan pada harga kos yang berpatutan dalam pasaran.
Menjelang akhir tahun ini, Fleximart merancang untuk membuka cawangan kedua di Sungai Besi selain tiga lagi kedai makan di bawah inisiatif sama iaitu Kesum.
