26 views 2 mins 0 comments

Nasi Ayam Tambah Nasi Tanpa Had Jadi Tarikan

In Bisnes, Ekonomi
May 17, 2026
Pengurus kedai Nasi Ayam Roasted Cawangan Medan Selera Seksyen 19, Muhammad Mat Ariffin

SHAH ALAM –  Di saat kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan, kedai Nasi Ayam Roasted di Seksyen 19, di sini, mencuri perhatian ramai apabila menjual menu nasi ayam dengan harga RM 5 berserta tambahan nasi percuma tanpa had.

Promosi ini membuatkan kedai tersebut kekal menjadi pilihan ramai, khususnya pelajar, pekerja kilang dan golongan bujang yang mahu mendapatkan makanan mengenyangkan pada harga mampu milik. 

Pelajar UiTM Shah Alam antara pelanggan tetap kedai Nasi Ayam Roasted

Pengusaha kedai tersebut, Datuk Seri Haji Kamaluddin Saidon, 61, mendapat idea untuk menjual dengan harga RM 5 selepas melihat masyarakat yang semakin terbeban dengan keadaan ekonomi semasa, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan pekerja di kawasan perindustrian sekitar Shah Alam.

“Sebagai peniaga, kita kena cari alternatif lain bagaimana mahu menarik pelanggan tetapi dalam masa yang sama, apa yang kita buat ini dapat membantu orang yang perlukan makanan murah,” katanya kepada Shah Alam Times.

Bagi pengurus kedai, Muhammad Mat Ariffin, 40, perniagaan ini bermula dengan gerai di tepi jalan pada tahun 2024 sebelum berjaya membuka premis sendiri pada Januari 2025 susulan sambutan pelanggan yang semakin menggalakkan.

Nasi ayam dipilih sebagai menu utama kerana ia merupakan kepakaran Datuk Seri Haji Kamaluddin dan Muhammad selain menjadi antara makanan yang digemari pelbagai lapisan masyarakat.

Menu Nasi Ayam Roasted yang berharga RM5

Walaupun dijual pada harga rendah, Muhammad menegaskan pihaknya tidak akan sesekali mengurangkan saiz hidangan mahupun kualiti makanan demi memastikan pelanggan berpuas hati.

“Kalau kita naikkan harga, prinsip asal kita sudah hilang. Kita memang mahu membantu masyarakat dan memastikan orang masih boleh makan kenyang dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Kebanyakkan pelanggan membuat tempahan dalam jumlah besar untuk program, majlis dan acara institusi sehingga mencecah ribuan bungkus sehari.

Menurut Muhammad, kedai tersebut mampu mencecah jualan sekitar 1,000 bungkus nasi ayam sehari dan pernah mencapai sehingga 1,500 bungkus ketika menerima tempahan besar.

“Kita sekarang kena cari pelanggan. Dulu pelanggan cari kita, tapi sekarang dunia perniagaan dah berubah dan promosi sangat penting,” jelasnya. 

Muhammad turut berharap usaha menyediakan makanan murah itu dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai masyarakat untuk menikmati hidangan berkualiti tanpa perlu berbelanja besar.

Edrinna Junaidi
/ Published posts: 1

Sentiasa ada cerita