25 views 4 mins 0 comments

Demi Si Bulu Jalanan

In Rencana
July 16, 2026
Rosiza meluangkan masa memberikan perhatian dan kasih sayang kepada kucing jalanan.

SHAH ALAM – Ketika jutaan manusia masih lena dibuai mimpi, namun tidak bagi Rosiza Lando, 32, yang sudah memulakan rutin hariannya seawal jam 4 pagi.

Sebelum melangkah ke tempat kerja, guru tadika ini akan menyediakan makanan dan memandu ke lebih 12 lokasi di sekitar Shah Alam bagi memberi makan kepada kucing serta anjing jalanan.

Wanita kelahiran Negeri di Bawah Bayu itu berkata rutin tersebut bukan lagi sekadar kerja sukarela, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak menetap di Shah Alam pada penghujung 2023.

“Setiap hari mereka tunggu saya, apabila sampai waktu saya datang, mereka memang dah ada di situ.

“Saya tak pernah elakkan sebab saya tak sampai hati.” katanya kepada Shah Alam Times. 

Segalanya bermula apabila dia mendapati terdapat sekumpulan kucing di sekitar kawasan flat dalam keadaan kelaparan dan uzur, kemudian pada peringkat awal dia memberi makanan hanya atas dasar kemanusiaan.

Namun begitu, apabila kucing-kucing di situ mula mengenalinya, dia merasakan itu merupakan tanggungjawab baharu yang perlu digalasnya.

“Saya mula bagi makan sebab kasihan tetapi lama-lama mereka tunggu saya setiap hari.

“Dari situ saya rasa saya tak boleh tinggalkan mereka,” jelasnya ketika ditemu bual.

Rosiza memberi makan kepada kucing-kucing jalanan di lokasi sekitar Shah Alam.

Kini, Rosiza menjaga 39 ekor kucing di rumahnya selepas sebahagian daripadanya diselamatkan atau tidak boleh dilepaskan semula kerana masalah kesihatan.

Sebelum ini, jumlah kucing yang dijaganya melebihi 60 ekor, namun ada antaranya tidak dapat diselamatkan akibat penyakit yang serius yang dialami kucing-kucing tersebut.

Di sebalik usaha itu, pengorbanan yang dilakukan bukan sedikit tatkala dia menganggarkan perbelanjaan bagi makanan, rawatan dan keperluan lain mencecah lebh RM 2,000 setiap bulan.

Sebahagian individu yang berhati mulia turut menghulurkan sumbangan untuk makanan haiwan jalanan, namun semua kos menjaga kucing di rumah ditanggung menggunakan sumber pendapatannya sendiri.

Pengorbanan itu turut memberi kesan kepada kehidupan peribadinya apabila dia mengakui dirinya dan suami hampir tidak pernah bercuti bersama kerana perlu memastikan haiwan-haiwan jalanan terus mendapat makanan setiap hari.

“Kalau saya balik Sabah pun, saya kena tengok jadual suami dan kalau dia kerja, memang susah.

“Kami dah lama tak pergi berjalan atau berbulan madu sebab siapa pula nak bagi mereka makan,” ujarnya.

Rekod kesihatan dan sijil pemandulan kucing yang diuruskan oleh Rosiza.

Selain memberi makan, Rosiza aktif menjalankan program Trap-Neuter-Release (TNR) selepas menyedari pembiakan yang tidak terkawal menjadi antara punca utama peningkatan populasi haiwan jalanan.

Katanya, pada mulanya dia sendiri tidak memahami kepentingan pemandulan sehinggalah doktor veterinar menjelaskan manfaatnya terhadap kesihatan haiwan dan kawalan populasi.

“Kalau kita bagi makan saja tapi tak mandulkan, jumlah mereka akan bertambah.

“Anak-anak kucing pula ramai yang kena langgar, dibuang atau mati sebab tak ada orang jaga,” tegasnya. 

Walaupun cabaran yang dihadapi semakin besar, Rosiza tidak pernah berhasrat untuk berhenti.

Dalam usaha mengawal populasi haiwan jalanan, kerjasama antara masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, doktor veterinar dan pihak berkuasa amat diperlukan agar beban yang dipikul sukarelawan seperti Rosiza tidak lagi ditanggung sendirian.

Kisah Rosiza membuktikan bahawa isu haiwan terbiar bukan sekadar soal kebajikan haiwan, tetapi juga mencerminkan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab bersama.

Alia Maisarah
/ Published posts: 2

Where facts meet clarity