792 views 7 mins 0 comments

Vape Tingkat Risiko Kemandulan, Kecacatan Bayi

In Kesihatan, Rencana
June 28, 2025
Awas: di sebalik asap manis vape, terkandung bahan kimia yang boleh merosakkan rahim dan mengancam masa depan kesuburan wanita.

“Saya berhenti vape tiga bulan lepas. Hari ini, saya disahkan hamil.”

Kata-kata penuh harapan ini dikongsikan oleh seorang wanita berusia 29 tahun dalam satu hantaran di satu laman bual, yang menceritakan perjalanannya bertahun-tahun bergelut dengan masalah ketidaksuburan tanpa punca yang jelas. Sejak awal 20-an, dia merupakan perokok sosial sebelum beralih kepada vape pada 2018 dan tanpa disedari, berat badannya semakin merosot hingga ke angka 97 paun.

Pelbagai rawatan hormon dicuba, namun semuanya menyebabkan kesan sampingan dan kegagalan. Sehinggalah satu hari, dia terbaca bahawa penggunaan vape boleh menjejaskan kadar kejayaan rawatan kesuburan (ART) dan meningkatkan risiko keguguran akibat keradangan pada rahim. Sejak itu dia nekad berhenti.

Tiga bulan kemudian, dia akhirnya disahkan hamil secara semula jadi. Tiada lagi ubat, tiada lagi prosedur IVF. Cuma satu perubahan besar… tinggalkan vape!

Kisah ini membuka mata ramai tentang ancaman senyap rokok elektronik terhadap kesuburan wanita dan perkembangan janin.

Ramai wanita muda hari ini leka menghisap vape, kononnya sebagai alternatif yang lebih ‘selamat’ berbanding rokok. Bau strawberi susu, mangga ais, sedap di mulut, ringan di poket. Tetapi, apa yang tidak mereka tahu adalah setiap sedutan yang diambil sebenarnya meningkatkan risiko kemandulan kepada diri sendiri.

Komplikasi kesihatan

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Kualiti dan Penyelidikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hasryn Azzuar Mohd Khairy, pengambilan vape boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan seperti kerosakan kepada rahim wanita, kitaran haid tidak teratur, dan mengganggu fungsi ovari dalam menghasilkan telur.

“Setiap kali wanita itu hisap vape, nikotin, logam berat dan bahan toksik seperti BPA dan phthalates akan masuk ke dalam badan. Bahan-bahan inilah yang akan menyerang sistem hormon wanita dan mengganggu penghasilan telur, rosakkan mukus serviks, ganggu proses ovulasi.

“Bila ovari gagal keluarkan telur, persenyawaan tak boleh berlaku. Rahim tidak bersedia untuk menerima janin. Maka peluang untuk hamil? Hampir kosong. Bila sampai tahap ini, ramai yang dah habis duit buat rawatan kesuburan kemudian baru sedar, puncanya selama ini adalah vape,” jelas beliau.

Lebih menggerunkan, bagi wanita yang sedang hamil, vape umpama racun senyap yang boleh membunuh janin dalam kandungan.

“Aliran darah ke plasenta akan terganggu. Oksigen tidak dapat diserap oleh bayi mengakibatkan nutrien yang dibekalkan yang mencukupi. Keadaan ini meningkatkan risiko keguguran, kecacatan pada bayi, IQ rendah dan risiko kematian bayi mengejut meningkat dua kali ganda.

Wanita yang menghisap vape juga berisiko mengalami menopaus awal. Bahan kimia dalam vape mengurangkan bilangan folikel ovari. Apabila folikel berkurang, ovari gagal berfungsi dan menopaus boleh berlaku seawal umur 40 tahun atau lebih muda,” tegasnya.

Tambah Hasryn Azzuar lagi, perubahan struktur sel akibat vape juga meningkatkan risiko kanser serviks dan kanser ovari.

Apabila DNA sudah rosak, risiko kanser meningkat dan kerosakan DNA ini bukan semua boleh dipulihkan, walaupun selepas berhenti vape. Lebih menakutkan adalah  keadaan tersebut akan diwarisi oleh si anak.

“Walaupun anda berhenti vape hari ini, jika DNA sudah rosak, anak perempuan anda mungkin akan mewarisi masalah kesuburan yang sama. Bukan sahaja anda, malah generasi seterusnya akan terkesan,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa pendedahan pasif atau secondhand vaper turut meningkatkan risiko ini. Kalau pasangan anda vape, anda duduk dekat, anda juga akan terdedah kepada risiko yang sama.

“Sebahagian kerosakan mungkin boleh pulih dalam masa tiga ke enam bulan jika berhenti awal. Tapi bila dah sampai tahap DNA rosak, atau struktur ovari berubah, dah tak boleh undur lagi. Rawatan pun mungkin tak membantu,” jelas Hasryn Azzuar.

Beliau menegaskan, inilah realiti yang perlu difahami oleh semua wanita muda hari ini.

“Ramai yang masih leka, ingat vape itu tak bahaya. Tapi bila satu hari nanti doktor beritahu rahim sudah rosak, susah nak hamil, masa itu baru nak menyesal. Bila anak lahir cacat, IQ rendah, masa itu air mata pun dah tak boleh ubah apa-apa,” tegasnya lagi.

Kajian antarabangsa

Sementara itu, beberapa kajian dan penyelidikan antarabangsa turut memperkukuh kebimbangan terhadap kesan buruk vape terhadap kesuburan dan kehamilan. 

Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati wanita yang menghisap vape berdepan risiko 25 peratus lebih tinggi untuk mengalami masalah kesuburan berbanding wanita yang tidak menggunakannya.

Manakala, sekumpulan penyelidik dari University of North Carolina pula mendapati bahawa bahan kimia yang terkandung dalam cecair vape berpotensi menjejaskan perkembangan embrio pada peringkat awal kehamilan. 

Manakala, satu lagi kajian yang diterbitkan dalam jurnal Fertility and Sterility menunjukkan bahawa wanita yang menggunakan rokok elektronik mempunyai kadar kebarangkalian untuk hamil yang lebih rendah berbanding bukan perokok. 

Lebih membimbangkan, bayi yang terdedah kepada wap nikotin semasa dalam kandungan juga didapati berisiko mengalami kecacatan kongenital dan gangguan pada perkembangan sistem saraf.

Kajian terkini oleh Ohio State University pula mendedahkan bahawa pendedahan kepada nikotin termasuk melalui penggunaan vape oleh ibu menyusu boleh meningkatkan risiko kecacatan tengkorak pada bayi. 

Nikotin yang diserap ke dalam tubuh ibu boleh memasuki susu badan dan seterusnya menjejaskan proses pembentukan tulang tengkorak bayi, yang boleh menyebabkan gangguan serius seperti craniosynostosis iaitu penutupan awal jahitan tengkorak. Penemuan ini mencetuskan kebimbangan besar terhadap keselamatan penggunaan vape bukan sahaja semasa kehamilan, tetapi juga sepanjang tempoh penyusuan.

Malangnya, kesannya tidak terhenti di situ. Bayi yang menerima pendedahan ini turut berdepan pelbagai kesan sampingan. Penyelidik mendapati bahawa kandungan nikotin dalam susu ibu boleh mengganggu corak tidur bayi, meningkatkan risiko gangguan paras gula dalam darah serta masalah tiroid, faktor yang boleh mencetuskan isu berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak.

Lebih mengejutkan, nikotin daripada vape juga berpotensi mengurangkan penghasilan susu ibu. Keadaan ini dipercayai berpunca daripada penurunan hormon prolaktin, iaitu hormon utama yang merangsang penghasilan susu badan.

Realitinya, setiap sedutan vape bukan sekadar soal pilihan peribadi atau gaya hidup moden tetapi adalah pertaruhan terhadap masa depan seorang wanita, kehidupan dalam rahimnya dan generasi yang belum lahir. Hari ini mungkin vape itu manis di tekak dan tenang di fikiran, tetapi esok mungkin membawa duka yang tidak mampu ditarik semula walau dengan segunung penyesalan.

Zairain Zaidi
/ Published posts: 3

Jambatan untuk suara yang kurang didengari dan yang sering dianggap tiada erti.