724 views 3 mins 0 comments

Gajet ‘racun’ Baharu Lonjak Kes Diabetes Dalam Kalangan Kanak-Kanak

In Kesihatan, Rencana
July 02, 2025
Tabiat kanak-kanak bermain gajet sambil makan snek berisiko menyumbang kepada masalah diabetes sejak usia muda. (GAMBAR: HIASAN)

SHAH ALAM- Penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis cukup sinonim dalam kalangan individu dewasa.

Namun, ini tidak bermakna golongan muda terutamanya kanak-kanak boleh terlepas daripada risiko dijangkiti penyakit ini. 

Berdasarkan data dari Pangkalan Data Kebangsaan Kanak-kanak dan Remaja dengan Diabetes, bentuk diabetes yang lazim menyerang kanak-kanak di Malaysia ialah diabetes jenis 1, yang menyumbang kira-kira 73 hingga 77 peratus daripada keseluruhan kes.

“Faktor utama peningkatan diabetes dalam kalangan kanak-kanak termasuk gaya hidup tidak aktif akibat pendedahan gajet secara berlebihan,” jelas Prof. Madya Dr. Nur Islami Mohd Fahmi Teng, Ketua Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam.

Gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer kini menjadi ‘pengasuh digital’ kepada ramai kanak-kanak. Walaupun ia menawarkan hiburan dan pembelajaran, penggunaan tanpa kawalan mengorbankan satu elemen penting: pergerakan fizikal.

“Kanak-kanak yang menghabiskan berjam-jam di depan skrin cenderung menjalani gaya hidup sedentari. Mereka kurang bersenam, kurang berinteraksi secara aktif dan ini menyumbang kepada peningkatan berat badan serta risiko diabetes jenis 2,” ujar Dr. Nur Islami. 

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menggunakan gajet melebihi dua jam sehari berisiko mengalami penurunan metabolisme dan peningkatan indeks jisim badan (BMI).

Mengulas perkara tersebut, Dr. Nur Islami berkata semakin lama waktu skrin, semakin besar kecenderungan untuk menggantikan aktiviti fizikal dengan makan secara pasif, biasanya snek tidak sihat.

Ketika menonton video atau bermain permainan atas talian, ramai kanak-kanak cenderung mencapai makanan ringan, minuman manis atau makanan segera.

“Ada kecenderungan untuk makan berlebihan ketika menggunakan gajet, lebih-lebih lagi makanan tinggi gula, garam dan lemak. Minda mereka (kanak-kanak)  kurang memberi isyarat kenyang kerana perhatian dialihkan kepada skrin,” terang Dr. Nur Islami.

Iklan makanan yang tidak sihat di platform digital turut mempengaruhi pilihan pemakanan kanak-kanak. Mereka mudah terpengaruh dengan promosi minuman manis seperti boba, air berkarbonat atau makanan viral yang tinggi kalori tetapi rendah nutrien.

“Kurang aktiviti fizikal, makan secara berlebihan serta makanan tinggi gula, garam dan lemak, semua ini adalah resepi untuk penyakit kronik,” jelas Dr. Nur Islami. 

Ibu bapa dan guru harus lebih peka terhadap tanda-tanda awal diabetes seperti sering kencing malam, cepat haus dan lapar, penurunan berat badan tidak dijangka dan keletihan berterusan. 

“Pengesanan awal amat penting untuk mengelakkan komplikasi serius. Sekiranya simptom berlarutan, segera dapatkan pemeriksaan doktor,” nasihat Dr. Nur Islami. 

Bagi mereka yang sudah menghidap diabetes, kawalan pemakanan, pemantauan gula dalam darah dan sokongan keluarga serta sekolah sangat penting.

 “Pendidikan dan sokongan berterusan membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan rawatan dan gaya hidup sihat,” tambah beliau. 

Mencegah diabetes dalam kalangan kanak-kanak memerlukan pendekatan yang mampan, bukan sekadar nasihat ringkas untuk “kurangkan gula”, tetapi perubahan menyeluruh dalam persekitaran dan gaya hidup harian kanak-kanak. 

Menurut Dr. Nur Islami, pencegahan yang berkesan bermula lebih awal, malah sebelum gejala muncul. 

“Langkah pencegahan paling asas ialah membentuk tabiat sihat sejak kecil. Ini termasuk pemakanan seimbang, masa skrin yang terkawal dan galakan untuk aktif secara fizikal setiap hari,” tegas beliau.

Alissya Zunizam
/ Published posts: 1

Informasi yang tepat nadi rakyat.