TOKYO – Jepun akan mewajibkan semua kereta baharu bertransmisi automatik dilengkapi sistem pencegahan kesilapan menekan pedal minyak dan brek mulai tahun 2028, sebagai usaha mengurangkan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kesilapan pemandu terutamanya warga emas.
Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan pada September 2028 untuk semua model kereta buatan tempatan, dan kereta import mulai September 2029.
Langkah ini diambil susulan beberapa insiden kemalangan serius melibatkan pemandu warga emas yang tersilap menekan pedal gas ketika sepatutnya menekan brek.
Dalam salah satu kes pada Jun 2025, seorang wanita berusia 90-an memandu kereta yang merempuh sebuah kedai kopi di Hokkaido selepas tersilap pedal namun tiada kecederaan dilaporkan.
Sistem keselamatan yang diwajibkan ini akan membantu mengelakkan pecutan tidak sengaja apabila terdapat halangan berhampiran.
Jika pedal minyak ditekan dalam keadaan itu, kenderaan hanya dibenarkan bergerak perlahan tidak melebihi 8 kilometer sejam.
Sistem turut dilengkapi dengan isyarat amaran kepada pemandu, dan akan memberikan maklum balas secara automatik apabila pengesanan dilakukan.
Menurut kementerian, 93.8 peratus daripada kenderaan penumpang baharu yang dijual di Jepun pada tahun 2023 telah dilengkapi sistem seperti ini secara sukarela oleh pengeluar, termasuk Toyota dan Honda.
Isu keselamatan berkaitan warga emas telah menjadi perhatian utama di Jepun, memandangkan negara itu mempunyai populasi pemandu berusia lebih 75 tahun yang tinggi.
Kerajaan Jepun sebelum ini telah memperketatkan syarat pembaharuan lesen memandu warga emas, termasuk ujian kognitif serta menawarkan insentif bagi mereka yang secara sukarela menyerahkan lesen.
“Masalah sebenar bukan semata-mata disebabkan faktor umur, tetapi kemungkinan berpunca daripada kesan sampingan ubat-ubatan yang diambil oleh warga emas,” kata Dr. Hideki Wada, pakar psikiatri terkenal Jepun.
Beliau mencadangkan agar ujian kognitif turut mengambil kira pengambilan ubat yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.
Dengan penguatkuasaan sistem keselamatan baharu ini, kerajaan Jepun berharap dapat mengurangkan kemalangan berpunca daripada kesilapan pedal yang sering berlaku terutama dalam kalangan pemandu berusia.
Langkah ini dijangka menjadi contoh perintis kepada negara lain yang turut berdepan isu populasi menua dan keselamatan pemanduan.
