28 views 3 mins 0 comments

Dari Kampus ke Pentas Juara, UiTM United II FC Tawan Liga Perdana FAS

In Sukan
July 16, 2026
Para pemain skuad UiTM United sedang meraikan kejayaan manis selepas muncul juara Liga Perdana FAS buat julung kalinya.

SUBANG JAYA – UiTM United II FC melakar sejarah apabila muncul juara Liga Perdana Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas menewaskan “otai” dalam saingan bola sepak Selangor, Klasiko FC 1-0 pada aksi final di Stadium MBSJ, di sini.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Haziq Deli pada minit ke-42 menerusi penyudah kemas yang menewaskan penjaga gol lawan, yang disifatkan memadai untuk menghadiahkan kejuaraan kepada UiTM United II FC.

Walaupun berdepan tekanan daripada lawan yang lebih berpengalaman, UiTM United II FC mempamerkan permainan penuh disiplin serta bertahan dengan baik sehingga wisel penamat dibunyikan.

Jurulatih UiTM United II FC, Mohd Shahidan Rusly, berkata kejayaan tersebut adalah hasil daripada perancangan rapi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para pemain sepanjang persiapan pasukan.

“Apa yang telah kita rancangkan dari hari ke hari menjadi pada hari ini dan terlaksana.

“Pemain dengar dan ikut cakap saya, segala taktikal yang dirancang berjaya diaplikasikan di dalam perlawanan,” katanya kepada Shah Alam Times.

Kemenangan itu bukan sahaja membolehkan UiTM United II FC menjulang trofi Liga Perdana FAS, malah mengesahkan tempat pasukan dalam Liga Super FAS musim hadapan.

Pasukan itu turut mencipta sejarah apabila layak buat kali pertama ke Selangor Champions League (SCL).

Mohd Shahidan mengakui dia tidak menyangka UiTM United II FC mampu melangkah ke saingan SCL, namun menyifatkan kejayaan itu sebagai rezeki hasil usaha seluruh pasukan.

“Saya langsung tak menjangkakan UiTM United mampu menjejakkan kaki ke saingan Selangor Champions League, dan Alhamdulillah, hari ini rezeki memihak kepada kami dan kami berjaya menembusi tembok itu,” jelas Mohd Shahidan.

Sementara itu, Haziq Deli bukan sahaja muncul wira pasukan menerusi gol kemenangan, malah turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan atas aksi cemerlang yang dipamerkannya sepanjang 90 minit permainan.

Lebih membanggakan, skuad UiTM United II FC dibarisi oleh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berjaya mengimbangi komitmen sebagai mahasiswa dan atlet.

Di sebalik komitmen akademik serta sesi latihan yang padat, mereka membuktikan bahawa kecemerlangan dalam bidang pendidikan mampu bergerak seiring dengan kejayaan di atas padang.

Kejayaan menjulang trofi Liga Perdana FAS bukan sekadar menutup musim dengan penuh gemilang, malah membuka lembaran baharu buat UiTM United II FC.

Daripada sebuah pasukan yang dibarisi pelajar universiti, mereka kini melangkah ke Liga Super FAS dan Selangor Champions League dengan satu misi yang jelas membuktikan bahawa kerja keras, disiplin dan semangat juang mampu membawa mereka berdiri sebaris dengan pasukan-pasukan terbaik di Selangor.

Ammar Afif
/ Published posts: 4

I don't chase people, I chase headlines.