41 views 3 mins 0 comments

SAF UiTM: FKPM Raih Dua Emas dalam Acara Aerodance dan Tenpin Boling

In Sukan
June 23, 2026
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pengajian Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Faisal Mohamed bersama para kontinjen meraikan kejayaan menamatkan Sukan Antara Fakulti pada Majlis Penutup SAF Ahad lalu. - Rasmotion

SHAH ALAM – Kontinjen Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) mempamerkan aksi meyakinkan dalam temasya Sukan Antara Fakulti (SAF) UiTM apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas, sekaligus memecahkan kemarau pingat pada edisi lalu.

Sumbangan pingat emas pertama buat fakulti tersebut telah dijelmakan oleh pasukan Aerodance kategori lelaki yang mempamerkan persembahan memukau.

Wakil pasukan Aerodance, Imran Asmaruzi, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu pencapaian di luar jangkaan memandangkan persaingan sengit daripada fakulti-fakulti dominan seperti Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) 

Imran (barisan hadapan, tiga dari kanan) bersama pasukan meraikan kejayaan meraih pingat emas pertama buat FKPM dalam acara Aerodance Lelaki. – Rasmotion

“Saya berasa sangat gembira kerana segala penat lelah kami berlatih sejak bulan Mei berbaloi, lebih-lebih lagi terpaksa membahagikan masa dengan Projek Tahun Akhir (FYP).”

“Pada awalnya kami tidak meletakkan harapan yang tinggi. Kami hanya sepakat untuk menikmati persembahan dan melakukan yang terbaik tanpa terlalu memikirkan soal kemenangan,” katanya.

Rentak cemerlang kemudiannya diteruskan di lorong boling apabila Hariz berjaya menyumbangkan pingat emas kedua fakulti menerusi acara Master Tenpin Boling. 

Lebih manis, bekas pemain boling SUKMA Kedah 2024 itu turut cemerlang merangkul pingat perak bagi acara berkumpulan.

Hariz bersama Staf FKPM, Zahin terharu, berjaya meraih pingat emas dalam acara Master Tenpin Boling di Alam Lanes, Aeon Mall Shah Alam. – Rasmotion

Walaupun mendapat saingan kuat daripada atlet-atlet FSR, Hariz kekal tenang menggunakan pengalamannya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada FKPM.

“Kemenangan ini merupakan sesuatu yang di luar jangkaan dan agak luar biasa buat saya. Bukan mudah untuk menentang wakil dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) kerana mereka mempunyai balingan yang sangat konsisten.

“Namun, bagi mengawal tekanan ketika bertanding, saya mempraktikkan pesanan jurulatih saya, saya akan sentiasa menganggap setiap balingan yang dilakukan sebagai balingan pada frame yang pertama,” jelasnya ketika ditemu bual.

Kejayaan pasukan Aerodance dan Hariz nyata menyuntik semangat seluruh kontinjen FKPM pada temasya kali ini. 

Secara keseluruhan, FKPM merekodkan pencapaian membanggakan dengan kutipan keseluruhan dua pingat emas, satu pingat perak dalam acara tenpin boling berpasukan, dan tiga pingat gangsa dari acara boling padang, catur dan e-sukan Mobile Legends: Bang-Bang.

Pencapaian cemerlang dalam edisi SAF kali ini jelas melenyapkan stigma lama dan membuktikan bahawa pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media bukan sahaja berbakat di sebalik tabir dan media, malah mampu beraksi cemerlang sebagai atlet sukan.

Haziq Khairul
/ Published posts: 3

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul