SHAH ALAM – Bengkel NewsCamp: Media Workshop on Journalism in the AI Era menjadi platform yang menghimpunkan pakar industri dengan mengangkat tema isu kritikal dalam industri media hari ini, termasuk kepentingan etika dalam kewartawanan digital.
Ketua Program, Nik Nur Iman Wahyu Nik Azwadi, 24, berkata bengkel anjuran pelajar semester lima program Kewartawanan UiTM Shah Alam itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai realiti sebenar industri, selari dengan perubahan landskap media yang kian dipacu kepada teknologi dalam penghasilan berita.
“Program ini dianjurkan sebagai platform untuk mendedahkan peserta kepada perkembangan semasa dalam dunia kewartawanan, khususnya berkaitan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan cabaran disinformasi.
“AI bukan lagi sesuatu yang asing dalam kewartawanan, malah ia menjadi satu keperluan. Namun, penggunaanya perlu disertai dengan pemahaman etika yang jelas,” katanya kepada Shah Alam Times.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Program, Nur Izzati Akmar, 24, menyifatkan bengkel tersebut yang berlangsung di Dewan Seminar UiTM Global, Kompleks Antarabangsa UiTM Shah Alam sebagai satu pengalaman baharu buat peserta melalui pendedahan sebenar daripada pihak industri.
“Program ini memberi pengalaman secara langsung bersama pihak industri dan menunjukkan bahawa kewartawanan dalam era AI masih relevan, tetapi perlu dilaksanakan dengan lebih berhati-hati,” jelasnya.
Antara pengisian utama bengkel selama sehari termasuk perkongsian mengenai strategi menangani maklumat palsu, penggunaan AI dalam kerja kewartawanan serta perbincangan tentang integriti dan masa depan media.
Sepanjang bengkel ini, peserta telah mengikuti tiga sesi utama iaitu Combating Disinformation in the Digital Era, Google AI Tools for Journalist dan Media Ethics & the Future of Journalism yang dikendalikan oleh pakar industri berpengalaman.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat melahirkan bakal wartawan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga beretika dan bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
