84 views 3 mins 0 comments

LIGA PREMIER FAS: Iman Shah bantu Klasiko FC menang bergaya

In Sukan
April 23, 2026
Iman Shah (dua dari kiri) meraikan jaringan keempatnya ketika menewaskan Bukit Kuching 4-1 dalam aksi Liga FAS Kumpulan B di Padang Sintetik MBSA Seksyen 28. - SAT

SHAH ALAM – Klasiko FC meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas Bukit Kuching dalam aksi Liga Premier FAS Kumpulan B yang berlangsung di Padang Sintetik MBSA Seksyen 28, di sini, Ahad lalu.

Penyerang utama, Iman Shah menjadi tonggak utama apabila menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama.

Walaupun berdepan tekanan awal daripada pasukan lawan, Klasiko FC bangkit menguasai perlawanan sebaik memperoleh jaringan pembukaan oleh Iman Shah pada minit ke-15.

Iman meneruskan aksi cemerlangnya dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-21, sebelum rakan sepasukan, Amir Ammar, menambah gol ketiga sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Klasiko tidak mengendurkan asakan apabila Iman melengkapkan hatrik peribadinya yang juga gol keempat pasukan pada masa tambahan, sekaligus mengesahkan kemenangan bergaya mereka.

Bukit Kuching pula memperoleh gol tunggal menerusi Zulfitri Md Zin pada minit ke-63.

Aksi pemain Klasiko FC ketika menentang Bukit Kuching dalam perlawanan Liga FAS Kumpulan B. – SAT

Sementara itu, Penolong jurulatih Klasiko FC, Amir Mukhriz Ibrahim mengakui pasukannya sedikit bergelut pada awal permainan namun memuji kebangkitan para pemain selepas itu.

“Pada awal permainan kami agak bergelut kerana mereka bermain high press, tetapi selepas gol pertama, permainan berubah dan kami berjaya menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama,” ujarnya kepada Shah Alam Times.

Menurutnya, kemenangan tersebut disebabkan oleh kerja keras dan komitmen pemain sepanjang sesi latihan.

“Komitmen pemain sangat baik sepanjang minggu, latihan berjalan lancar dan hubungan antara pemain juga sangat membantu dalam perlawanan pada hari ini,” jelasnya.

Barisan pemain Klasiko FC bersama barisan kejurulatihan selepas mencatat kemenangan ke atas Bukit Kuching. – SAT

Dalam pada itu, Amir turut mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama pada bahagian serangan.

“Kami masih lambat panas dan perlu perbaiki final third, khususnya pergerakan masuk ke dalam kotak penalti,” tambahnya.

Sementara itu, Iman Shah melahirkan rasa syukur atas kemenangan besar tersebut serta memuji kerjasama rakan sepasukan.

“Alhamdulillah kami menang, semua pemain beri 100 peratus dan kerjasama yang sangat baik pada hari ini,” katanya.

Tambahnya, prestasi yang dipamerkan adalah hasil daripada latihan yang dijalankan bersama jurulatih. 

“Apa yang jurulatih ajar dalam latihan, kami bawa ke dalam permainan dan itu menjadi kunci kepada prestasi hari ini,” ujarnya.

Antara pemain Klasiko FC yang menunjukkan aksi cemerlang dalam perlawanan menentang Bukit Kuching. – SAT

Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan Klasiko FC dalam saingan Liga FAS Kumpulan B, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan menjelang perlawanan seterusnya.

Alyaa Mohamed
/ Published posts: 1

write the truths the world tries to bury