Dalam dunia aksesori tempatan yang acapkali didominasi oleh emas dan perak, jenama Paulini Pewter tampil berbeza dengan keberanian mencabar norma. Siapa sangka, logam yang sering dikaitkan dengan piala dan bingkai gambar kini tampil sebagai aksesori eksklusif bertatah batu dan mutiara.
Lebih menarik, teknik ‘clamp’ yang lazimnya digunakan untuk logam lain berjaya diperkenalkan dalam seni piuter oleh pengasasnya, Salini Idris, bersama rakan kongsi perniagaannya, Paul Kok Chee Keong. Inovasi ini sekaligus mengubah persepsi terhadap potensi bahan ini.
Berbekalkan modal RM30,000 yang diperolehi pada tahun 2006, Paulini Pewter dibangunkan tanpa latar belakang formal dalam bidang logam. Segalanya dipelajari sendiri melalui pemerhatian serta pengalamannya bekerja di sebuah syarikat pembuatan piuter sebelum ini.
Dari sebuah bengkel kecil di Seksyen 25, Shah Alam, mereka menghasilkan rekaan sendiri yang berbeza daripada pasaran, merangkumi proses reka bentuk, pengeluaran hingga pemasaran.
“Semua kami belajar sendiri. Kami memerhati, belajar mencuba dan baiki dari masa ke masa,” kata Salini kepada Shah Alam Times.
Pendekatan tersebut menjadi asas kepada setiap rekaan yang dihasilkannya, apabila beliau terus bereksperimen dan memperhalusi teknik bagi memastikan hasil yang unik dan berkualiti.
Keberanian Salini untuk mencuba sesuatu yang baharu turut disokong oleh Paul, yang melihat sebuah potensi besar dalam inovasi tersebut.
“Kami dengan bangganya mengatakan bahawa kami adalah yang pertama melakukan kaedah ‘clamp’ untuk piuter,” kata Paul, merujuk kepada teknik ‘clamp’ yang sebelum ini tidak pernah diaplikasikan dalam seni logam tersebut.

Keunikan utama jenama ini terletak pada penggunaan kaedah ‘clamp’ yang dianggap sukar kerana sifat piuter itu sendiri. Menurut Salini, ramai tidak percaya piuter mampu memegang batu seperti jade atau mutiara tanpa menggunakan gam.
“Pada awalnya memang mencabar untuk meyakinkan orang bahawa piuter juga boleh tampil sebagai aksesori moden dan eksklusif,” tambahnya.
Namun dengan penelitian dan berhati-hati dalam proses pembuatan, Paulini Pewter berjaya membuktikan sebaliknya, sekaligus menjadi antara pelopor dalam teknik tersebut di Malaysia.
Setiap rekaan dihasilkan dalam jumlah yang terhad dan melalui proses yang teliti. Piuter dicairkan, dituang ke dalam acuan dan melalui beberapa peringkat kemasan sebelum menjadi aksesori siap.
Untuk menghasilkan sekitar 20 unit produk, proses ini boleh mengambil masa sehingga tiga hari menjadikan setiap hasil bukan sekadar perhiasan, tetapi karya seni yang eksklusif.

Walaupun berdepan cabaran besar seperti pandemik COVID-19 dan banjir pada tahun 2021 yang memaksa mereka bermula dari bawah, semangat untuk terus mempertahankan seni piuter tidak pernah pudar.
Kini, Paulini Pewter aktif menyertai ekspo, jelajah dan program bersama penggiat industri pelancongan bagi memperkenalkan seni piuter Malaysia ke persada antarabangsa.
Terbaharu, jenama ini baru sahaja menyertai Internationale Tourismus-Börse Berlin (ITB) di Jerman, antara pameran pelancongan terbesar di dunia.
Mereka turut dijadualkan ke Shanghai pada bulan hadapan bagi menyertai ekspo sempena Tahun Melawat Malaysia, sekali gus meneruskan usaha memperluaskan jenama Paulini Pewter ke pasaran global.
