Inspirasi Sarang Lebah, Mahasiswi UiTM Cipta Identiti Fesyen

In Gaya Hidup, Rencana
April 27, 2026
Busana Ellyana ketika Runaway Final Year Project

SHAH ALAM – Daripada keunikan struktur sarang lebah (honeycomb) yang tersusun rapi hingga kilauan keemasan seperti madu, Ellyana Isnita Diana, 23, mahasiswi Universiti Teknologi MARA (UiTM), berjaya mengolah inspirasi alam menjadi nadi kepada karya agungnya. 

Bagi Ellyana, atau lebih mesra disapa Ell, bidang fesyen merupakan impian yang telah lama bertakhta di hatinya sejak berusia 12 tahun. Anak kedua daripada tiga beradik ini dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang sentiasa menyokong minatnya. 

“Saya memang tak ada latar belakang seni. Masa sekolah dulu pun saya ambil aliran Sains Tulen dan Tasawwur Islam, tapi jiwa fesyen tu memang kuat. Saya cabar diri untuk ambil bidang ini” jelasnya kepada Shah Alam Times.

Sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Ellyana berjaya membuktikan bahawa minat yang konsisten mampu membawa seseorang melangkah jauh.

Bagaimanapun dia juga tidak terlepas berdepan cabaran terutama mencari idea dan kelaianan yang mahu diketengah untuk projek akhir tahun pengajian.

“Setiap orang kena ada konsep yang berbeza. Batch kami seramai 60 orang, jadi memang kena ada 60 idea. Memang tertekan masa itu dan saya pula orang terakhir yang membentangkan idea dalam kelas,” katanya.

Gambar Ellyana bersama busana ‘honeycomb’ rekaannya

Inspirasi sarang lebah itu bukan sekadar visual semata-mata, tetapi juga diterjemahkan menjadi sebuah koleksi unggul yang mengangkat elemen struktur, repetisi dan ketepatan melalui teknik manipulasi syiling yang rumit. 

Menurut Ellyana, bagi mendapatkan tekstur honeycomb, dia menghasilkan sendiri bentuk tersebut dengan menekapan fabrik pada syiling sebagai asas. Bentuk yang terhasil kemudian dipotong satu per satu sebelum direbus semalaman dan dijemur di bawah sinar matahari. 

Setiap helaian fabrik itu kemudian dijahit semula secara manual bagi menghasilkan tekstur berdimensi yang menjadi identiti utama rekaannya.

Ellyana menjahit satu persatu kepingan ‘honeycomb’ yang dihasilkan secara manual

Palet warna keemasan seperti madu dan amber mengalir di atas siluet yang menggabungkan ketegasan struktur dengan kelembutan jatuhan kain. Rekaan berasaskan korset itu bukan sahaja menonjolkan keindahan bentuk, tetapi juga menyampaikan naratif tentang ketahanan  dan kekuatan feminin. 

“Rekaan ini sebenarnya simbolik kepada perjalanan saya sepanjang belajar,” ujar Ellyana.

Kini, usaha dan ketekunannya bakal mendapat pengiktirafan yang lebih besar apabila koleksinya bakal dipamerkan di Exhibition Final Year Collection di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur pada Mei ini.

Pameran tersebut dianjurkan oleh Faizal Hamid, Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam yang mempunyai lebih daripada 28 tahun pengalaman dalam bidang ini.

Jelas terbukti bahawa dari inspirasi sarang lebah yang unik, lahirlah sebuah karya yang mencerminkan titik peluh seorang pereka fesyen muda yang sedang membina namanya dalam industri.

Proses reka bentuk Busana Honeycomb
Proses tekapan fabrik pada syiling bagi menghasilkan texture ‘honeycomb’
Syazwani Hasnan
/ Published posts: 3

Kebenaran bermula daripada keberanian untuk bertanya