SHAH ALAM — Perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini menandakan satu era baharu dalam institusi diraja Selangor sekaligus penyatuan dua merpati sejoli.
Tengku Amir Shah merupakan satu-satunya putera Sultan Sharafuddin Idris Shah, memikul peranan penting sebagai Raja Muda bagi memastikan kelangsungan masa depan negeri.
Baginda dilahirkan pada 12 Disember 1990 di California Pacific Medical Center, San Francisco, Amerika Syarikat dan mendapat pendidikan awal dan menengah di Alice Smith School.
Ketika menginjak usia 11 tahun, baginda dimasyurkan sebagai Raja Muda pada 3 Mei 2002 dan dimahkotakan pada usia 26 tahun, 8 Oktober 2016.
Baginda kemudian melanjutkan pengajian A-Levels di Kolej Wellington, United Kingdom, dan menamatkannya pada 2009 sebelum memperoleh ijazah dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar dari University of Leeds pada 2014.
Baginda seterusnya menjalani latihan dalam Tentera Malaysia sebelum mendaftar di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, di mana pegawai dilatih memikul tanggungjawab kepimpinan ketenteraan, dan menamatkan pengajian pada tahun 2016.
Tidak hanya berperanan secara formal, baginda dikenali aktif dalam pelbagai program berkaitan alam sekitar, selari dengan latar belakang pengajiannya, serta berjiwa rakyat dengan komitmen tinggi terhadap kebajikan, khususnya golongan muda.
Di luar urusan rasmi, baginda penggemar aktiviti luar dan lasak seperti berlayar, tenis, berbasikal, mendaki, dan tenis dayung.

(Sumber: Selangorroyalofficial)
Sementara itu, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini dilahirkan di Hospital Pantai dan berasal daripada keluarga yang aktif dalam kerja sosial.
Beliau merupakan satu-satunya puteri tunggal Dato’ Abdul Aziz dan Datin Rosmawati Ismail dan mendapat pendidikan awal di Garden International School, Kuala Lumpur dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke A-Levels di St George’s School, Ascot, United Kingdom.
Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengajian pembangunan dan ekonomi di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
Kerana minat yang mendalam terhadap kelestarian bandar, beliau meneruskan pula pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang bandar lestari, Sustainable Cities, di King’s College London.
Dalam kehidupan peribadi, beliau mempunyai minat yang mendalam dalam aktiviti lasak seperti perlumbaan Formula F1, sukan tenis, mendaki, dan larian separuh maraton di luar negara.
Seorang wanita yang berdedikasi dan berani, beliau juga merupakan penyelam bertauliah Professional Association of Diving Instructors (PADI) Advanced Diver.
Kepakaran beliau dalam bidang kelestarian diharap memperkaya usaha istana dalam memperjuangkan perlindungan alam sekitar di Selangor.
Secara keseluruhan, perkahwinan ini bukan sekadar ikatan rasmi diraja, tetapi simbol penghargaan Baginda terhadap pasangan yang profesional, berpendidikan tinggi, dan aktif beraktivisme, yakni Datin Paduka Seri Afzaa.
Keserasian mereka jelas terserlah melalui minat, personaliti, dan aktiviti lapang masing-masing, terutamanya dalam pemuliharaan alam sekitar, menjadikan mereka pasangan yang sejiwa.
Kehadiran Datin Paduka Seri Afzaa sebagai isteri baginda menambahkan lagi kebahagiaan dan kurniaan bagi Baginda.
Istiadat perkahwinan rasmi telah berlangsung pada 22 Oktober di Istana Shah Alam, disaksikan oleh kaum kerabat, tetamu kehormat, dan rakyat jelata, menandakan hari bahagia yang turut dirasai semua.
