330 views 2 mins 0 comments

HRC, Pustaka Raja Tun Uda Rai Kanak-Kanak OKU Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia.

In Komuniti
November 29, 2025
Kanak-kanak OKU bersama keluarga dan petugas program tampil dengan kostum fantasi berwarna-warni sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Pustaka Raja Tun Uda.(Sumber : Instagram rajatunudalibrary)

SHAH ALAM – Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, Hospital Rehabilitasi Cheras, dengan kerjasama Pustaka Raja Tun Uda,menganjurkan program istimewa bagi meraikan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) bersama ibu bapa dan penjaga.

Bertemakan Dive Into The Magical World of Book program tersebut berjaya menarik penyertaan lebih 50 keluarga yang masing-masing terdiri daripada pesakit hospital itu sendiri sekaligus menunjukkan komitmen tinggi ibu bapa terhadap pertumbuhan anak anak mereka.

Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr. Faizul Nizam Abu Salim, menyifatkan penganjuran kali ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna kerana julung kali diadakan di luar premis hospital sepanjang beliau menyandang jawatan tersebut.

Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat senyuman dan keceriaan yang terpancar pada wajah kanak-kanak yang hadir.

“Mereka melalui perjalanan yang panjang dan mencabar dalam proses rehabilitasi. 

“Melihat mereka ceria hari ini memberi satu kepuasan besar, bukan hanya kepada keluarga mereka tetapi juga kepada kami yang terlibat dalam proses pemulihan,” ujarnya.

Program yang berlangsung selama dua hari itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi bercerita, bengkel kreatif, pameran pendidikan, cabaran interaktif serta sudut pembelajaran mesra kanak-kanak yang direka selaras dengan tema fantasi dan imaginasi.

Kegembiraan jelas terpancar di muka kanak-kanak semasa menyertai aktiviti yang telah disediakan.

Seorang ibu kepada peserta, Nor Aina Abdul Malek, berkata program seperti ini memberi peluang kepada anaknya merasai pengalaman baharu dalam persekitaran awam yang inklusif.

“Selalunya aktiviti untuk anak-anak OKU terhad dalam kawasan hospital sahaja. Hari ini kami rasa dihargai kerana anak saya dapat bermain dan bergaul di tempat terbuka” katanya.

Menurut Mohd Azrin Anuar, penganjuran bersama Pustaka Raja Tun Uda bukan sahaja menceriakan anak-anak, malah menyuntik semangat kepada keluarga yang melalui proses pemulihan mereka.

“Kami tahu perjalanan rehab panjang dan mencabar, tapi bila lihat anak-anak ketawa dan bersemangat hari ini, ia jadi penguat semangat untuk kami sebagai ibu bapa. 

“Sokongan seperti ini sangat bermakna,” ujarnya.

Sambutan ini selari dengan tema Hari Kanak-Kanak Sedunia yang menitikberatkan kesaksamaan, akses dan peluang yang sama rata untuk semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.

Pustaka Raja Tun Uda dan Hospital Rehabilitasi Cheras berharap program seumpama ini akan diteruskan pada masa depan bagi memperkukuh usaha membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin.

Naufal Abdullah
/ Published posts: 2

Melihat dunia dengan pena, merawat bangsa dengan membaca