SHAH ALAM – Berbekalkan semangat tidak mudah mengalah, Muhammad Azizul Hanafi Kayatin, atau lebih mesra dengan panggilan Wak Napi, membuktikan bahawa sisa minyak masak terpakai juga mampu menjadi sumber rezeki jika diurus dengan bijak.
Lebih sepuluh tahun menetap di Shah Alam dan pelbagai pekerjaan pernah diceburi termasuk dalam bidang perniagaan makanan tetapi rezeki dalam bidang tersebut tidak lama.
Ketika pandemik COVID–19 melanda negara pada tahun 2021 menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan termasuk dirinya, Wak Napi mengambil langkah berani menceburkan diri dalam perniagaan mengumpul dan menjual minyak masak terpakai.
“Saya mulakan dengan mengumpul minyak masak dan berniaga kecil-kecilan. Selepas itu, jiran-jiran pun mula bagi minyak untuk saya jual. Dari situ, saya nampak potensi,” katanya.
Sehingga kini, dia berjaya mengumpul sebanyak 105.5 tan minyak masak terpakai dari Januari 2024 hingga April 2025.
Minyak yang dikutip dihantar ke kilang untuk proses penapisan awal sebelum dieksport ke luar negara sebagai bahan mentah bagi produk berasaskan bio seperti biodiesel, sabun pencuci dan lilin.
Dia menjalankan operasi kutipan secara aktif di sekitar Shah Alam, Klang, Putrajaya, Cyberjaya, Puchong, dan Bangi.
“Penduduk sambut baik usaha ini kerana saya bantu mereka lupuskan minyak dengan cara betul. Dalam masa yang sama, kawasan pun jadi lebih bersih,” tambahnya yang turut dibantu isteri menguruskan perniagaan tersebut.
Wak Napi turut mengadakan kutipan komuniti setiap hujung minggu di lebih 30 taman dan perumahan mengikut jadual yang ditetapkan.
Ditanya tentang cabaran menguruskan perniagaan tersebut, lelaki berusia awal 30-an itu memberitahu, kos operasi yang tinggi untuk mengumpul minyak terpakai di lokasi berbeza menyebabkan sasaran perniagaannya sukar dicapai.
“Namun, cabaran terbesar saya adalah memberi kesedaran kepada orang ramai tentang cara betul menguruskan sisa minyak yang digunakan kerana ia memberi kesan besar kepada alam sekitar,” katanya yang pernah diundang oleh beberapa organisasi luar untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan sisa minyak.
Selain itu, usaha Wak Napi turut mendapat perhatian beberapa syarikat swasta yang menyediakan bantuan pengurusan minyak terpakai dan peralatan yang diperlukan.
Dalam masa sama, dia turut mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di mana perniagaannya beroperasi.
“Saya berharap satu hari nanti boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya minyak masak terpakai ini diurus lebih sistematik, mungkin dimulakan dari sekolah dan komuniti,” jelasnya.
