Walaupun hanya berniaga di gerai tepi jalan, Caah’s Donut Susu menyajikan donut susu yang mempunyai rasa dan tekstur yang istimewa setanding dengan jenama terkenal.
Pengusaha Caah’s Donut Susu, Nur Farahanah Abdul Rahman, 27, atau lebih dikenali dengan panggilan Caah yang berasal dari Pulau Pinang mengusahakan perniagaan ini bersama suaminya Mohd Nhazrhill Tahar, 31 sejak 2020 ketika beliau berusia 23 tahun.
Caah berkata beliau dan suaminya mempelajari resepi donut dari ibu Mohd Nhazrhill, Rosemah Patuok, 54, yang berasal dari Bintulu, Sarawak yang menjalankan perniagaan donut susu di sana sejak sekian lama.
“Suami bawa ibunya ke Semenanjung dari Sarawak untuk kami belajar resepi turun temurun donut susu tersebut.
“Kami mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mempelajari teknik dan resipi penghasilan donut susu ini,” katanya ketika ditemu bual.
Menurut Caah, bukan mudah untuk menghasilkan donut ini kerana resepinya bukan seperti donut biasa.
“Doh donut diuli bertekstur lembik dan ‘gedik’ untuk menghasilkan donut yang berongga, lembut dan kenyal.
“Masa mula-mula kami jual donat kami hanya ikut seratus peratus resepi asal. Kemudian, saya ada melakukan sedikit pengolahan pada resepi supaya donut tersebut kekal lembut sehingga petang,” ujarnya.
Caah berkata dan suaminya bermula dengan menjual donut susu dengan mengambil tempahan daripada rakan-rakan dan jiran sahaja.
“Awal berniaga saya hanya mengambil tempahan dari jiran dan kawan rapat sahaja.
“Mula-mula ada seorang jiran tempah selepas saya ada bagi dia rasa donut susu ibu mentua saya buat.
“Selepas rasa, dia menempah donut susu untuk akikah cucu dia. Kemudian, jiran-jiran yang lain mula membuat tempahan juga.
“Kawan- kawan pula tahu saya jual donut susu sebab saya iklankan dalam akaun Facebook saya,” katanya.
Disebabkan tempahan yang terlalu banyak, Caah dan suaminya mengambil keputusan untuk membuka gerai di kawasan Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 31 Ogos 2020.
Caah berkata walaupun ketika itu Malaysia berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai tetap memberi sambutan.
“Masa mula-mula pembeli kita hanya orang di sekitar Seberang Jaya disebabkan oleh PKP.
“Mereka sanggup beratur selama satu jam hanya untuk mendapatkan donut susu.
“Selepas sempadan di buka, orang daripada negeri-negeri lain seperti Johor, Kelantan, Terengganu dan banyak lagi negeri sanggup datang ke sini untuk beli donut susu,” katanya.
Untuk pengetahuan para pembaca, cawangan Caah’s Donut Susu Pulau Pinang telah berpindah ke Permatang Pauh kerana tempat lebih luas dan demi menjaga keselesaan pelanggan.
Setelah mendapat sambutan hangat di Pulau Pinang, Caah’s Donut Susu melebarkan sayapnya ke Selangor dengan membuka gerai di Seksyen 7, Shah Alam pada bulan Jun 2023.
Selepas lebih 10 bulan berniaga di gerai tepi jalan di sini, pasangan suami isteri ini akan membuka kafe Caah’s Donut Susu di Seksyen 7, Shah Alam pada 25 Mei.
Sementara itu seorang pelanggan tetap, Nur Qaisara Hisham, 26, berkata rasa donut susu jenama ini tidak sama dengan tempat lain dan telah menjadi kegemaran beliau.
“Mula-mula saya beli sedikit sahaja sebab takut tak sedap tetapi rasa menyesal sebab rasa donut jenama ini sedap sangat dan tak dapat di tempat lain.
“Donut masih lembut walaupun dah sejuk dan tak rasa muak bila makan.
“Secara keseluruhannya saya memang berpuas hati beli donut susu di sini dan saya akan beli sekurang-kurangnya sebulan sekali,” ujarnya.
Dengan slogan ‘Sekali Ngap! Terus Lenyap’, kini Caah’s Donut Susu berjaya menjual lebih daripada 10,000 ribu donut dalam masa sehari.
