512 views 2 mins 0 comments

Konvokesyen UiTM Ke-100: Dua Sahabat Baik Terima ANC

In Berita, Kampus
November 18, 2024
Nur Afiqah (kiri) bersama Nur Ain menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, Khamis lalu.

SHAH ALAM – Dua sahabat baik graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Arab Komunikasi Profesional menerima Anugerah Naib Canselor (ANC), sekaligus menggenggam ijazah kelas pertama pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-100 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Khamis lalu. 

Nur Afiqah Binti Zainodin, 23 dan rakan baiknya, Nur Ain Binti Zainorazman, 23, tidak tidak pernah berharap bergelar graduan kelas pertama, apatah lagi menerima ANC bersama-sama.  

Bagi Nur Afiqah, kunci kejayaan mereka adalah saling membantu dan memilih sahabat yang tepat sewaktu menimba ilmu bagi melengkapi kekurangan masing-masing dalam menghadapi cabaran.

“Selain daripada cara kerja kami yang lebih kurang sama, kami juga saling memenuhi kekurangan satu sama lain. Itulah yang membuatkan persahabatan kami lebih akrab walaupun sekadar berkenalan secara online sahaja. 

“Kami hampir berputus asa sewaktu menyiapkan projek akhir tahun yang merupakan cabaran besar apabila sesi pembelajaran ditukar kepada secara bersemuka selain kelemahan kami dalam bidang penulisan.

“Namun berkat usaha saling membantu dalam mencari bahan kajian dan informasi akhirnya kami berjaya menyelesaikan projek itu,” katanya. 

Bagi Nur Ain pula, dia tidak menafikan pembelajaran secara atas talian sewaktu musim pandemik sememangnya mencabar dan baginya selain daripada sokongan ahli keluarga, sahabatnya itu turut menjadi sumber kekuatan untuk terus berjuang hingga ke garisan penamat. 

“Segala kesusahan saya hadapi sepanjang zaman belajar ini, Afiqah sentiasa ada untuk saya. Dia buatkan saya yakin dalam memperbaiki diri terutamanya ketika membuat pembentangan tugasan. 

“Afiqah juga banyak membantu seperti membenarkan saya menumpang rumah beliau selain sering berkongsi kata-kata positif kepada saya terutama apabila saya ingin berputus asa,” kata Nur Ain. 

Nur Ain kini bergelar Guru Kelas Al Quran dan Fardhu Ain, di Sekolah Rendah Agama Jenjarom Kuala Langat dan telah pun berkhidmat selama lebih setahun, manakala Afiqah kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam Pengajian Bahasa Gunaan.

Farah Nor Hidayah
/ Published posts: 2

Setiap Kata Yang Ditulis Adalah Tanggungjawab Untuk Menyampaikan Realiti