1441 views 2 mins 0 comments

Robot Main Bola Sepak di Beijing

In Global
July 12, 2025
Aksi penuh fokus robot AI dalam kejohanan bola sepak autonomi pertama di Beijing, China. (Foto : AP Photo/Ng Han Guan)

Beijing – Sekumpulan robot humanoid bertanding dalam perlawanan bola sepak 3 lawan 3 di sebuah dewan sukan di Beijing, pada pertengahan Jun, sebagai usaha memperlihatkan kemajuan kecerdasan buatan (AI) di China. 

Pertandingan ini melibatkan robot dari empat pasukan universiti yang dikawal sepenuhnya oleh algoritma AI, tanpa campur tangan manusia.

Setiap pasukan memprogramkan sendiri strategi permainan, kawalan pergerakan, dan sistem penglihatan komputer untuk membolehkan robot mengenal pasti bola dan merancang aksi di padang.

Robot-robot itu mampu bergerak lincah, mengikut bola dan bangun semula apabila jatuh, namun beberapa kali terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung, menunjukkan batasan fizikal yang masih wujud.

Acara ini merupakan sebahagian daripada percubaan China memanfaatkan sukan sebagai ujian bagi teknologi robot humanoid, selepas mencuba kategori lain seperti gusti dan maraton.

“Sukan ialah platform terbaik untuk menguji keupayaan robot humanoid,” kata Cheng Hao, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi tempatan, Booster Robotics, yang membekalkan rangka dan sistem robot kepada semua pasukan.

Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan: “Pada masa depan, mungkin robot akan main bola bersama dengan manusia. Jadi, kita kena pastikan robot tu betul-betul selamat.”

Pasukan THU Robotics dari Universiti Tsinghua berjaya muncul juara selepas menewaskan Mountain Sea dari China Agricultural University dengan jaringan 5-3 dalam perlawanan akhir yang rancak.

Penonton turut teruja melihat gerakan sambutan selepas menjaringkan gol, apabila robot mengangkat tangan seolah-olah bergaya seperti pemain profesional.

“Mereka bermain dengan sangat baik. Tapi pasukan Mountain Sea… bawa banyak kejutan.,” kata Encik Wu, penyokong pasukan Tsinghua yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Pertandingan ini dijangka menjadi pemangkin kepada Kejohanan Dunia Robot Humanoid yang akan berlangsung semasa Persidangan Robot Dunia di Beijing Ogos ini.

https://www.channelnewsasia.com/east-asia/china-humanoid-robots-football-matches-beijing-fully-autonomous-ai-driven-5209806: Robot Main Bola Sepak di Beijing
Amalina Aziz
/ Published posts: 2

Setiap patah perkataan kami, membawa suara rakyat