586 views 3 mins 0 comments

Misi Akademik UiTM Kukuh Pengetahuan Pelajar Hubungan Malaysia – Indonesia

In Kampus
January 20, 2025
Para peserta mengabadikan kenangan bersama kakitangan ibu pejabat Sekretariat ASEAN, di Jakarta, baru-baru ini. (Foto: Project Link)

Shah Alam – Misi akademik dan budaya anjuran pelajar Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke Jakarta berjaya mengukuhkan pengetahuan peserta dalam bidang perhubungan awam dan diplomasi serantau.

Ketua projek, Nurul Batrisya Zailani berkata, melalui lawatan itu  pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk kunjungan ke Muzium Nasional Indonesia, lawatan akademik ke London School of Public Relations (LSPR), serta sesi dialog di Universitas Bakrie. 

“Fokus utama adalah pertemuan dengan diplomat di Kedutaan Besar Malaysia dan Pejabat Sekretariat ASEAN, di mana mereka mendapat pendedahan langsung mengenai diplomasi dan peranan Malaysia dalam ASEAN sebagai pengerusi pada tahun 2025.

“Program ini turut mengetengahkan aktiviti yang memupuk kefahaman budaya, seperti persembahan seni tradisional dikir barat dan pantun di LSPR. Di IDN Media, pelajar mempelajari pendekatan menyelesaikan krisis perhubungan awam, menjadikan pengalaman ini lebih praktikal dan relevan dengan cabaran industri sebenar,” katanya.

Seramai 35 peserta terdiri daripada pelajar semester akhir dan empat pensyarah menyertai lawatan tersebut yang berlangsung daripada 12 hingga 15 Januari 2025.

BertemakanProject LINK: Let’s Ignite Nusantara Kita,’ program tersebut menjadi medan transformasi bagi pertukaran budaya, akademik, dan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, terutamanya dalam konteks pengajian tinggi.

Menurut Nurul Batrisya, program tersebut turut mengetengahkan aktiviti kebudayaan seperti persembahan seni tradisional dikir barat dan pantun di LSPR. 

“Kunjungan ke Pejabat Sekretariat ASEAN, mendalami strategi komunikasi serantau, selaras dengan visi Malaysia sebagai pengerusi ASEAN,” tambahnya.

TEKUN… peserta misi akademik mendengar taklimat berhubung operasi IDN Media daripada kakitangan syarikat tersebut di Jakarta.

Ketua Pusat Komunikasi Strategik FKPM, Dr. Wan Norbani Wan Noordin, menyifatkan program ini sebagai jambatan untuk memahami perbezaan antara dua budaya.

“Projek ini menggambarkan komitmen UiTM dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berkemahiran global, seiring dengan peranannya sebagai institusi terkemuka dalam komunikasi dan media di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Dato’ Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin menyokong penuh projek tersebut dan mahu ianya diteruskan pada masa akan datang. 

“Melalui program ini, diharapkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia dapat dirapatkan lagi, kerana hubungan antara rakyat atau ‘people-to-people contact’ merupakan salah satu elemen penting dalam setiap hubungan dua hala.

“Program sebegini perlu diteruskan dengan merebut setiap peluang yang ada, bagi mengelakkan sebarang salah faham dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Afiqah Abas
/ Published posts: 4

Melaporkan Fakta, Bukan Rekaan