
YORKSHIRE – Seorang wanita Britain dari Yorkshire Selatan maut pada minggu lalu akibat rabies selepas dicakar seekor anak anjing jalanan ketika bercuti di Maghribi pada Februari.
Yvonne Ford, 59, mula mengalami sakit kepala semenjak dua minggu lalu sebelum keadaanya kian merosot sehingga tidak mampu berjalan, bercakap, tidur dan menelan menurut Persatuan Akhbar dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut pihak hospital, Ford disahkan menghidap rabies di Hospital Barnsley sejurus tiba di Britain dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Royal Hallamshire di Sheffield bagi rawatan lanjut.
Menurut satu hantaran di Facebook, anak perempuan Ford, Robyn Thomson memaklumkan keluarganya masih cuba memproses berita mengenai kehilangan ibunya,
“ Dia hanya dicakar sewaktu bercuti dan tidak menganggap ia perkara yang serius”
“ Namun, dua minggu lalu, dia mula sakit kepala sebelum hilang keupayan untuk menelan, tidur, bercakap dan akhirnya membawa kepada pemergiannya.” tulisnya.
Thomson turut menambah bahawa mereka sekeluarga tidak pernah menyangka perkara seperti itu berlaku kepada insan yang mereka sayangi.
Orang ramai perlu mengambil serius gigitan atau cakaran haiwan dan memastikan haiwan peliharaan divaksin bagi mengelakkan perkara ini berulang katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, tiada risiko kepada orang awam memandangkan tiada bukti dokumentasi penularan rabies antara manusia menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA).
Jurucakap UKHSA memaklumkan bahawa kontak rapat Ford serta petugas kesihatan sedang dinilai dan diberikan vaksin sekiranya perlu sebagai langkah berjaga-jaga.
Rabies merupakan penyakit yang lazim berlaku di Asia dan Afrika, pelancong yang melawat negara tersebut dinasihatkan agar tidak menyentuh anjing, kucing atau haiwan lain sepanjang berada di negara tersebut maklum UKHSA.
https://www.bbc.com/news/articles/c98wyllp170o: Wanita Maut Akibat Jangkitan Rabies Selepas Dicakar Anak Anjing